Rawatan gading si Kelat ikut prosedur, kata Perhilitan

Rawatan gading si Kelat ikut prosedur, kata Perhilitan

Perhilitan kata rawatan gading ikut prosedur yang berdasarkan penilaian pakar.

Gajah si kelat
Si Kelat berada di zoo di Jepun bawah Program Konservasi Gajah Malaysia. (Gambar Tiktok)
PUTRAJAYA:
Proses rawatan gading terhadap gajah bernama ‘Kelat’ mengikut prosedur pengurusan veterinar yang berdasarkan penilaian klinikal dan pengurusan konservasi oleh pakar, dengan memberi keutamaan pada kebajikan haiwan itu.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan segala tindakan yang diambil selaras dengan amalan kebajikan haiwan serta piawaian veterinar yang diiktiraf.

“Prosedur ini telah dilaksanakan secara terkawal dengan menggunakan pendekatan yang meminimumkan tekanan fisiologi kepada hidupan liar.

“Pemantauan berterusan turut dijalankan bagi memastikan pemulihan yang optimum dan kesejahteraan jangka panjang gajah berkenaan sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan.

Kelat serta ‘Dara’ dan ‘Amoi’ dipindahkan dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) ke Zoo Tennoji di Osaka (ZTO), Jepun pada 11 Mac lepas.

Penghantaran tiga gajah itu sebahagian daripada kerjasama dua hala antara Malaysia-Jepun yang dirancang rapi sejak 2022, bawah Program Konservasi Gajah Malaysia yang bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.

Perhilitan memberitahu kerosakan gading Kelat dikenal pasti pada sebelah kiri manakala pemotongan gading pada sebelah kanan dilakukan sebagai langkah pengimbangan bagi mengelak ketidakseimbangan struktur, yang boleh memberi tekanan pada kepala dan rahang.

Ketidakseimbangan itu berpotensi menyebabkan ketidakselesaan, meningkatkan risiko kecederaan serta menjejaskan tingkah laku semula jadi seperti pergerakan, pemakanan dan interaksi sosial.

“Justeru, langkah rawatan dan pencegahan ini dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup jangka panjang Kelat,” katanya.

Perhilitan memaklumkan ia sentiasa berkerjasama dengan ZTNS dan ZTO dalam memantau keadaan ketiga-tiga gajah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.