
Ketua Pengarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim, berkata aduan itu diterima kira-kira 7.30 malam, dengan lokasi penemuan berada 15km dari Hutan Simpan Renggam dan 27km dari Hutan Simpan Kluang.
Beliau berkata, susulan laporan itu, empat anggota dari Pejabat Perhilitan Batu Pahat dan Kluang dihantar ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati kesan tapak kaki tersebut dipercayai berusia antara tiga hingga empat hari, dengan ukuran sekitar 12cm lebar dan 11cm panjang,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Perhilitan akan melaksanakan rondaan dan kawalan selama 14 hari di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Katanya, Unit Konservasi Harimau Malaya turut akan memasang perangkap kamera bagi mengesan corak pergerakan haiwan berkenaan dan menentukan tindakan susulan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti harian, khususnya di kawasan hutan atau ladang.
“Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan berada bersendirian pada waktu awal pagi dan lewat petang,” katanya.
Tambahnya, orang awam digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran hidupan liar kepada Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau sistem aduan SISPAA di laman web jabatan itu.