Kebajikan 3 gajah dari Taiping di zoo Jepun terjamin

Kebajikan 3 gajah dari Taiping di zoo Jepun terjamin

Exco Perak Sandrea Ng berkata Perhilitan ambil kira semua faktor termasuk kesesuaian habitat dan kebajikan sebelum haiwan itu dihantar ke Zoo Tennoji.

Tennoji Zoo Jepun
Tiga gajah Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Taiping & Night Safari dipindahkan ke Zoo Tennoji, Jepun pada Mac lalu dalam kerjasama konservasi antara Malaysia-Jepun. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Orang ramai diminta bertenang dan memberi kepercayaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Zoo Taiping dalam menentukan kebajikan tiga gajah – Dara, Amoi dan Kelat yang dihantar ke Zoo Tennoji, Jepun, Mac lalu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng menegaskan kebajikan tiga ekor gajah Asia itu telah diambil kira secara menyeluruh sebelum kerjasama konservasi antara Malaysia-Jepun dimuktamadkan.

Sandrea Ng
Sandrea Ng.

Kerjasama itu bermatlamat memperkukuh hubungan serta pertukaran kepakaran dalam pengurusan hidupan liar.

“Memang sebelum pelaksanaan, sudah ada perbincangan, perkongsian maklumat dan pegawai Perhilitan beberapa kali melawat zoo berkenaan. Malah kakitangan dari Osaka pun datang ke sini untuk jalani latihan pengendalian gajah.

“Saya difahamkan semua pihak yang terlibat berpuas hati sebelum keputusan penghantaran gajah ke sana dibuat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan di media sosial, termasuk tuduhan Dara, Amoi dan Kelat ditempatkan dalam persekitaran konkrit yang tidak sesuai berbanding habitat asalnya di hutan Khatulistiwa.

“Saya percaya Perhilitan mengambil kira semua faktor termasuk kesesuaian habitat dan kebajikan haiwan sebelum bersetuju.

“Zoo Taiping dibawah portfolio saya ditugaskan Perhilitan hanya untuk menguruskan penghantaran,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan kerjasama itu bertujuan ‘melupuskan’ haiwan tersebut ke luar negara, sebaliknya ia sebahagian daripada komitmen hubungan dua hala antara Malaysia-Jepun.

“Ia adalah satu bentuk kerjasama dan persahabatan. Ia adalah hadiah kepada mereka dan pada masa akan datang, kita menjangka akan ada pertukaran haiwan dari Osaka ke Malaysia pula,” katanya.

Mengulas petisyen yang digerakkan bagi mendesak agar tiga gajah itu dibawa pulang, Sandrea berkata kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan orang ramai dan pihaknya akan sedaya upaya memantau kebajikan tiga gajah itu.

“Wakil Zoo Taiping dan Perhilitan dijangka akan membuat lawatan ke sana dalam masa terdekat namun bergantung pada perkembangan perang (Amerika Syarikat-Iran),” katanya.

Setakat artikel ini ditulis sekurang-kurangnya lebih 70,000 orang menandatangani petisyen itu.

Rata-rata mereka menzahirkan kemarahan dan mendesak agar tiga gajah itu dibawa balik selain menuntut sebarang pemindahan haiwan liar ke luar negara dihentikan.

FMT sedang mendapatkan maklum balas daripada Perhilitan berkenaan isu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.