Budak perempuan dipukul beramai-ramai di Kota Kinabalu

Budak perempuan dipukul beramai-ramai di Kota Kinabalu

Tular kejadian mangsa berusia 13 tahun dipukul lima pelajar lain.

buli pelajar
Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata mangsa turut mengadu diugut tidak memaklumkan kejadian pukul itu kepada ahli keluarga dan polis.
PETALING JAYA:
Seorang pelajar 13 tahun cedera akibat dipukul beramai-ramai oleh lima pelajar lain, dalam kejadian di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Namun, insiden berkenaan terbongkar susulan rakaman mangsa dipukul tular sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 23 Mei, 7.51 pagi yang dibuat sendiri mangsa, lapor Harian Metro.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian disyaki berlaku pada 22 Mei, sekitar 8 pagi, selain mangsa dilapor diugut tidak memaklumkan dirinya dipukul kepada ahli keluarga dan polis.

“Mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan sehingga mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, selain lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa dan semua suspek adalah pelajar daripada beberapa sekolah berbeza di sekitar Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata, semua mereka dipercayai saling mengenali menerusi satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘Angel’.

Menurutnya, siasatan juga mendapati mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum semua pelajar terbabit bertindak mengepung dan memukul mangsa dipercayai akibat salah faham serta rasa tidak puas hati.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.