Timbalan ketua menteri mahu saksi remaja ‘mati otak’ diberi perlindungan

p-ramasamy

GEORGE TOWN: Keluarga kepada saksi kejadian ngeri yang menimpa T Nhaveen, yang mati otak selepas diserang dengan ganas Jumaat lalu, mahu kawalan keselamatan Hospital Pulau Pinang ditingkatkan kerana bimbang diserang “pihak tertentu”.

Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy berkata keluarga T Previin, 19, yang sedang dirawat untuk kecederaan di muka, bimbang kongsi gelap mencarinya.

Ramasamy berkata keluarganya bimbang Previin boleh diserang lagi kerana beliau merupakan satu-satunya saksi bagi kes jenayah itu.

“Saya menulis kepada pengarah Hospital Pulau Pinang dan ketua polis negeri untuk menyediakan kawalan keselamatan bersenjata untuk Previin.

“Ada kebimbangan penyerang mempunyai kaitan dengan kumpulan tertentu dan mungkin mahu menutup mulut Previin.

“Saya juga menulis kepada ketua polis negeri supaya mengelaskan kes itu sebagai bunuh, kerana Nhaveen diisytiharkan mati otak. Keadaan itu umpama mati,” kata Ramasamy kepada FMT.

Ramasamy berkata kejadian itu berpunca daripada tabiat membuli yang membawa ke alam dewasa.

“Malang sekali kes ini keluaran sampingan sistem persekolahan. Para pegawai pendidikan tidak mengambil inisiatif untuk menangani gejala samseng, buli serta merta, yang kemudian melarat ke alam dewasa,” katanya.

Previin sedang dirawat untuk kecederaan di muka, pipi dan mata kanan.

Nhaveen dan Previin, yang bekerja sebagai promoter di AEON Queensbay pulang ke rumah selepas tamat shif malam mereka.

Selepas makan malam di gerai berhampiran rumah mereka, kedua-dua mangsa diusik 2 lelaki bermotosikal. Dua lelaki bermotosikal itu bekas rakan sekolah mereka.

Mereka mengusik Nhaven kerana bersifat keperempuanan tetapi mangsa tidak mempedulikan mereka.

Previin meminta mereka supaya berhenti, dan mengangkat tangan seolah mahu menampar mereka, katanya kepada the Star. Beliau dijangka menjalani pembebadahan mata esok.

Kedua lelaki itu menganggap tindakan Nhaveen sebagai ancaman lalu memanggil kumpulan sokongan. Tiga lelaki tiba dan mereka berlima kemudian menyerang Nhaveen dan Previin dengan topi keledar.

Previin meninggalkan tempat kejadian ketika seorang lelaki didakwa menculik Nhaveen ke sebuah padang di Jalan Kaki Bukit, yang terletak 5 minit dari situ.

Di situ, mereka terus memukul Nhaveen dan kemudian didakwa memasukkan botol atau kayu ke duburnya.