‘Mereka paksa Nhaveen jadi lelaki tabah’

nhaveen-3

GEORGE TOWN: Seorang remaja 18 tahun yang kini bertarung nyawa di sebuah hospital selepas diserang kejam sekumpulan pemuda pernah dipaksa menyertai sebuah “geng” supaya boleh berubah daripada seorang berwatak lembut kepada “lelaki tabah”, menurut seorang guru sekolah yang mengenalinya.

Katanya T Nhaveen seorang pelajar yang baik, tetapi kerap menjadi sasaran cemuhan murid lain disebabkan wataknya yang “lembut”.

“Dia memang lembut, tetapi yang pasti, dia bukan seorang homoseksual. Dia tidak mempedulikan mereka yang mengejeknya.

“Tetapi mereka ini ada agenda, iaitu menjadikan Nhaveen seorang ‘macho’ menurut pemahaman mereka,” kata guru itu kepada FMT ketika ditemui di hospital.

Guru itu enggan namanya disiarkan, sambil berkata kakitangan bekas sekolah Nhaveen, SMK Dato Haji Mohd Nor Ahmad, diarahkan tidak bercakap kepada pihak media.

Jumaat lalu, Nhaveen dan rakannya Previin yang bekerja sebagai jurujual di AEON Queensbay sedang dalam perjalanan pulang ke rumah ketika mereka diusik 2 lelaki bermotosikal yang juga bekas rakan sekolah mereka.

Dua lelaki itu kemudian memanggil 3 rakan lain, dan mereka berlima kemudian menyerang Nhaveen dan Previin dengan topi keledar.

Previin meninggalkan tempat kejadian ketika seorang lelaki didakwa menculik Nhaveen ke sebuah padang berhampiran. Di situ, mereka terus memukul Nhaveen dan kemudian didakwa memasukkan botol atau kayu ke duburnya.

Semalam, kira-kira 200 orang menghadiri vigil di luar hospital sambil mendoakan kesejahteraan Nhaveen, yang kini dalam koma dan diisytihar “mati otak”.

Polis sebelum ini mendedahkan Nhaveen menerima cemuhan dan dipanggil “pondan” dan “pengecut” oleh 2 penyerangnya.

Guru sekolah Nhaveen berkata salah seorang daripada pemuda yang menyerangnya merupakan pelajar bermasalah dan kerap menganggu Nhaveen.

“Saya tidak mahu menamakannya, tetapi dia sudah lama membuli Nhaveen,” katanya, sambil menambah ibu Nhaveen juga mengenali pelajar itu.

“Pendekkan cerita, dia ni memang bawa masalah.”

Guru itu berkata nasib yang menimpa Nhaveen mengejutkan ramai guru yang mengenalinya.

Timbalan ketua menteri mahu saksi remaja ‘mati otak’ diberi perlindungan