PKR gesa Dr Mahathir jangan tawar diri jadi PM

PKR gesa Dr Mahathir jangan tawar diri jadi PM

Pemuda PKR mahu jawatan itu diberikan kepada 'golongan pelapis' sementara kedua-dua tokoh menjadi penasihat.

Afif-Bahardin-mahathir
PETALING JAYA: Selang beberapa hari Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tidak menawarkan dirinya sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan, Pemuda PKR hari ini menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat pengumuman sama.

“Kami berharap Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan dapat memberikan komitmen bahawa beliau tidak akan menawarkan diri untuk bertanding sekaligus tidak menawarkan diri untuk menjadi calon perdana menteri,” kata Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin.

Walaupun melahirkan rasa “terkilan” dengan pendirian Anwar yang diumumkan Sabtu lalu, Afif berkata ia menghormati keputusan itu.

Pemuda PKR turut berharap Dr Mahathir sebagai “negarawan” dapat “memberi nasihat dan panduan” kepada Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Sabtu lalu, Anwar yang kerap diangkat PKR sebagai calon perdana menterinya, memutuskan tidak mahu menawarkan diri beliau untuk jawatan itu, sebaliknya berkata mahu memberikan tumpuan menghadapi PRU akan datang.

“Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat,” kata Anwar yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun.

Awal bulan ini, Dr Mahathir ketika ditanya sama ada akan kembali ke jawatan yang pernah dipegangnya selama 22 tahun, berkata ia akan hanya berlaku sekiranya digesa berbuat demikian.

“Saya tidak boleh mengabaikan rakan dalam PH. Jika mereka ada cadangan seperti itu dan dipersetujui, maka saya mungkin terpaksa mempertimbangkannya,” kata penasihat PPBM itu.

Sementara itu, Afif berkata susulan keputusan Anwar, kepercayaan harus diberikan kepada “pimpinan pelapis yang bertenaga dan berkarisma” untuk jawatan perdana menteri.

Menurutnya, ia boleh dilakukan “dengan bimbingan dan khidmat nasihat” daripada Anwar dan Dr Mahathir.

Anwar tidak mahu tawar diri jadi calon PM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.