KPN nafi perancang pengganas warga Malaysia terbunuh di Marawi

KPN nafi perancang pengganas warga Malaysia terbunuh di Marawi

Polis percaya Mahmud Ahmad itu masih berada di bandar Marawi.

khalid-mahmud-ahmad
SEREMBAN:
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan berita bahawa bekas pensyarah Universiti Malaya Mahmud Ahmad terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Filipina.

Beliau baharu sahaja mendapat maklumat bahawa berita yang menyatakan Mahmud terbunuh adalah tidak benar.

“Berkenaan dengan Dr Mahmud, banyak yang bertanya, sama ada dia betul telah terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Filipina. Saya baharu sahaja dapat maklumat bahawa berita yang menyatakan dia terbunuh itu adalah tidak benar.

“Jadi maknanya dia masih hidup lagi. Kita percaya dia masih lagi berada di bandar Marawi bersama dengan militan. Saya menafikan berita bahawa Dr Mahmud itu telah terbunuh,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Masjid Nurul Iman, Kampung Gebok, Mantin hari ini.

Khalid berkata Mahmud antara orang penting dalam melancarkan serangan Marawi.

“Dia antara perancang utamanya dan sudah semestinya dia ini adalah menjadi sasaran utama bukan sahaja kita malah oleh pihak berkuasa Filipina. Saya juga ingin mengesahkan bahawa orang Malaysia yang berada di Marawi sebenarnya tidak ramai.

“Ada beberapa orang sahaja dan kita percaya sekurang-kurangnya 4 orang telah terbunuh dan ada beberapa orang lagi yang kita belum dapat kenal pasti. Jadi kita sedang berunding dengan pihak berkuasa Filipina untuk mereka membantu kita mengenal pasti mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata sebelum insiden di Marawi terdapat jemaah tabligh dari Malaysia yang pergi ke Selatan Filipina termasuk ke bandar Marawi.

“Jadi kami sedang mengumpul maklumat sama ada mereka yang terlibat dalam jemaah tabligh ini sudah semua pulang ke Malaysia atau pun ada yang masih berada di Filipina. Jadi siasatan sedang kita buat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.