Cukai pelancongan mungkin tidak dilaksanakan 1 Julai di Sabah

Cukai pelancongan mungkin tidak dilaksanakan 1 Julai di Sabah

Menteri Sabah berkata hotel belum mendafat lagi dan persiapan logistik lain belum selesai.

masidi-manjun_sabah_pelancong_600
PETALING JAYA:
Cukai pelancongan nampaknya mungkin tidak dapat dilaksanakan buat masa ini, sekurang-kurangnya di Sabah.

Ketika ditanya adakah cukai itu akan dilaksanakan 1 Julai nanti seperti yang diumumkan sebelum ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Masidi Manjun berkata hotel belum mendaftar untuk cukai itu.

“Jadi bagaimana kerajaan akan mengutip cukai itu?” kata Masidi, menurut The Star Online hari ini.

Beliau berkata persediaan logistik lain juga belum selesai.

Masidi berkata “hanya kastam boleh beritahu sama ada kutipan cukai akan tangguh”.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini mengumumkan tarikh 1 Julai.

Beliau bagaimanapun memberitahu FMT pihak kementerian mengambil sikap fleksibel mengenai tarikh pelaksanaannya.

“Kalau pengusaha hotel tidak boleh laksanakannya 1 Julai ini, kita akan tunda ke Ogos. Bergantung kepada keadaan.”

Nazri memberitahu FMT mekanisme berdasarkan taraf hotel.

“Pengusaha hotel boleh menggandakan cukai (berdasarkan taraf) dengan bilangan bilik yang disewakan untuk semalam.”

Beliau berkata kementerian hanya akan mengutip perolehan ke atas cukai itu setiap 3 bulan.

Cukai ditetapkan pada RM2.50 untuk hotel tidak bertaraf, RM5 untuk 2 bintang, RM10 untuk 3 bintang, RM15 untuk 4 bintang dan RM20 untuk 5 bitang.

Masidi berkata Sabah dan Sarawak akan bermesyuarat mengenai cukai pelancongan selepas 4 Julai. Pembahagian cukai itu juga akan dibincangkan, tambahnya.

Sementara itu di KUCHING, Ketua Menteri Datuk Seri Abang Johari Openg berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai 3,000 pelancong dari China yang membatalkan lawatan mereka ke Malaysia susulan pelaksanaan cukai pelancongan dari 1 Julai, lapor Borneo Post.

Beliau tidak mahu mengulas kerana belum terima maklumat penuh.

Beliau diminta mengulas laporan berita yang memetik Gracie Geikie sebagai berkata 3,000 pelancong dari China membatalkan lawatan ke Malaysia kerana mereka dijangka membayar cukai pelancongan dianggarkan sekitar RM100,000.

Gracie, yang merupakan pemangku naib presiden untuk pengurusan konvensyen dan persidangan profesional Persatuan Konvensyen dan Penganjur Pameran Malaysia (Maceos) memberitahu pemberita di Miri mengenai pembatalan itu.

Menurut beliau, seorang kawan yang menjalankan sebuah agensi pelancongan memberitahunya mengenai pembatalan itu.

Cukai itu dijangka membawa masuk pendapatan tahunan RM654.62 juta sekiranya ada 60% kadar penginapan di lebih dari 11 juta bilik hotel. Ia akan digunakan untuk meningkatkan kemudahan pelancongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.