Khalid: Pengganas Malaysia Mahmud Ahmad mungkin lari dari Marawi

Khalid: Pengganas Malaysia Mahmud Ahmad mungkin lari dari Marawi

Khalid Abu Bakar berkata, Mahmud Ahmad mungkin melarikan diri dari bandar itu dengan pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon selepas serangan tentera Filipina.

khalid-mahmud-ahmad-2
KUALA LUMPUR:
Ketua polis negara berkata, pengganas Malaysia paling dikehendaki, Mahmud Ahmad, mungkin melarikan diri dari Marawi bersama pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon.

“Pihak berkuasa Filipina memaklumkan Hapilon berjaya meloloskan diri dari Marawi dan besar kemungkinan Dr Mahmud ada bersamanya.

“Kami tak dapat mengesahkannya, bagaimanapun maklumat daripada pihak berkenaan di Filipina mengatakan Dr Mahmud masih hidup,” kata Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, semalam.

Mahmud dan Hapilon dilaporkan terbabit dalam serangan untuk menguasai Marawi di Mindanao yang bermula 23 Mei lalu. Ia diketuai kumpulan Maute, sebuah kumpulan radikal Islam.

Pada 23 Jun lalu, akhbar Straits Times (ST) Singapura melaporkan Mahmud – bekas pensyarah Universiti Malaya, dipercayai mati selepas cedera dalam pertempuran di selatan Filipina.

Akhbar itu memetik tentera Filipina, Jeneral Eduardo Ano sebagai berkata, Mahmud mati pada 7 Jun lalu selepas tercedera dalam pertempuran di Marawi, bulan lalu.

Ano berkata, Mahmud disyaki menyalurkan lebih 30 juta peso (RM2.6 juta) dari IS untuk membeli senjata api, makanan dan bekalan lain untuk serangan di Marawi.

Menurut laporan itu, pihak berkuasa anti-pengganas di Malaysia belum mengesahkan sama ada Mahmud terbunuh kerana mayatnya belum ditemui.

Mahmud yang lebih dikenali sebagai Abu Handzalah, dikatakan memainkan peranan pemimpin dalam kalangan militan Maute di Filipina, yang mempunyai kaitan dengan IS.

ST melaporkan, beliau dipercayai terpilih sebagai pengganti Hapilon yang dinamakan sebagai ketua IS di Asia Tenggara.

Mahmud dan orang kanannya, Mohd Najib Husen yang terbunuh di Filipina, sebelum ini dikenal pasti sebagai perekrut utama IS di Malaysia.

Mahmud juga bertanggungjawab melatih dan menghantar militan untuk bertempur di Syria dan Iraq. Antara individu direkrut beliau adalah warga Malaysia pertama yang menjadi pengebom berani mati, Ahmad Tarmimi Maliki.

Mahmud menerima latihan di kem Al-Qaeda di Afghanistan di bawah Osama bin Laden semasa menuntut di Universiti Islam Islamabad, Pakistan, pada akhir 1990-an.

Beliau kembali ke Malaysia dan menjadi pensyarah di Universiti Malaya. Mahmud melarikan diri ke Filipina selepas polis membongkar kegiatan militannya pada 2014.

KPN nafi perancang pengganas warga Malaysia terbunuh di Marawi

Militan Malaysia paling dikehendaki dipercayai terbunuh di Filipina

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.