Indonesia jamin masalah jerebu rentas sempadan tamat 2020

Indonesia jamin masalah jerebu rentas sempadan tamat 2020

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antara langkah diambil Indonesia ialah menarik balik lebih 2,000 konsesi tanaman kelapa sawit di atas tanah gambut di negara itu.

wan-junaidi-jerebu-indonesia
KUCHING: Kerajaan Indonesia memberi jaminan masalah pencemaran jerebu merentas sempadan akan berakhir menjelang 2020 berikutan tindakan sistematik diambil pihak berkuasa negara tersebut.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, negara itu menandatangani persetujuan pelan hala tuju untuk menjadikan rantau Asean Bebas Jerebu menjelang 2020.

“Saya banyak mengadakan perbincangan dengan pihak Indonesia di pelbagai peringkat, iaitu di provinsi (wilayah) hingga peringkat negara di Jakarta,” katanya ketika menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri semalam.

Beliau berkata, antara langkah diambil kerajaan Indonesia termasuk menubuhkan pasukan petugas dianggotai 3,000 anggota polis dan tentera negara itu bagi tujuan pemadaman kebakaran hutan.

Di samping itu, katanya, negara itu turut menubuhkan sebuah jabatan untuk menyelaras kerja pemadaman kebakaran hutan, selain menubuhkan pusat pemantauan di Jakarta untuk memberi maklumat terkini mengenai kebakaran hutan.

Wan Junaidi berkata, pihak Indonesia turut menarik balik lebih 2,000 konsesi untuk tanaman kelapa sawit di atas tanah gambut di negara berkenaan yang dijangka dapat mengurangkan insiden kebakaran di hutan negara itu.

Katanya, sebuah syarikat perladangan dari Sarawak turut terbabit dalam kebakaran hutan di Indonesia, justeru, beliau sudah mengadakan perjumpaan dengan wakil Persatuan Perladangan Indonesia bagi mengelak kegiatan seperti itu serta mencari jalan bagi mengatasi masalah pencemaran jerebu.

Sementara itu, beliau meminta pengusaha ladang kelapa sawit di negeri ini tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan musim panas.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di ladang sawit di Baram tahun lepas berulang lagi sehingga menyebabkan keadaan berjerebu yang teruk di negeri ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.