Warisan akan pertimbang jelajah 1MDB anjuran Pakatan

Warisan akan pertimbang jelajah 1MDB anjuran Pakatan

Aziz Jamman berkata, Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah akan mengkaji kebaikan dan keburukan menyertai siri jelajah 1MDB itu, sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Azis-Jamman1
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah akan mengkaji kebaikan dan keburukan siri jelajah Pakatan Harapan (PH) mengenai 1MDB ekoran saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) baru-baru ini.

Ketua Pemuda Warisan, Aziz Jamman berkata, mereka akan memutuskan sama ada akan menyertai siri jelajah mulai 6 Julai ini, selepas mengkajinya.

“Sudah tentu 1MDB satu isu penting bagi semua rakyat Malaysia dan Warisan. Setiap orang ingin mengetahui perkara itu secara mendalam.

“Kami akan merujuk perkara ini kepada Majlis Tertinggi parti kami dan mereka akan memutuskan tindakan seterusnya.

“Saya percaya Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking akan mengeluarkan kenyataan mengenai pendirian kami berhubung perkara itu,” katanya kepada FMT.

Pada 28 Jun lalu, Pakatan Harapan mengumumkan siri jelajah seluruh negara bermula 6 Julai ini di Kepala Batas, Pulau Pinang bagi menjelaskan kepada orang ramai tuduhan terkini melibatkan 1MDB seperti terkandung dalam laporan DoJ baru-baru ini.

“Kami juga menyeru semua parti pembangkang mengetepikan segala perbezaan dan bekerjasama serta bergabung tenaga untuk membawa mereka yang terlibat dalam skandal penyelewengan dana 1MDB ke muka pengadilan,” kata PH dalam kenyataan yang turut disokong Warisan dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Jelajah itu akan diakhiri himpunan aman pada September depan, di mana tarikh dan lokasi akan ditetapkan kemudian.

DoJ melalui tindakan terbaru difailkan di California pada 16 Jun lalu mahu menyita aset berjumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) termasuk karya seni, barang kemas dan hak 2 filem yang dibeli dengan dana didakwa diseleweng daripada 1MDB.

DoJ menerusi saman sivil pertama yang difailkan pada Julai 2016 mahu merampas semua aset didakwa dibeli dengan dana 1MDB, termasuk Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, karya seni serta hasil kutipan daripada filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Keseluruhan nilai aset yang cuba didapatkan DoJ meningkat kepada AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) dengan tuntutan terbaru itu.

Pada 27 Jun lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyifatkan tindakan DoJ bersifat politik kerana ia tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan sebarang keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan mereka.

 

Jelajah DoJ bermula 6 Julai, PH ajak pembangkang lain

Saman DoJ bersifat politik, kata peguam negara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.