Warisan cuba pancing STAR tembusi kawasan KDM, kata penganalisis

Warisan cuba pancing STAR tembusi kawasan KDM, kata penganalisis

Syahruddin Awang Ahmad berkata Shafie Apdal melihat STAR sebagai rakan strategik untuk kukuh sokongan Warisan di kerusi majoriti KDM menjelang pilihan raya akan datang.

Spekulasi kerjasama Warisan-STAR bertiup kencang susulan kehadiran Shafie Apdal ke sambutan Pesta Kaamatan anjuran Jefrrey Kitingan di Keningau, hujung minggu lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Warisan dilihat cuba memancing Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk meningkatkan sokongan pengundi Kadazan Dusun Murut (KDM) yang tidak menyebelahinya pada PRU15 dan PRN Sabah tahun lalu, kata penganalisis.
Syahruddin Awang Ahmad
Syahruddin Awang Ahmad.

Syahruddin Awang Ahmad berkata, banyak parti berorientasikan KDM seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) bersama GRS selain pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor turut disokong Upko dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat.

“Warisan amat memerlukan STAR dan ini strategi (presiden Warisan) Shafie Apdal menembusi kerusi DUN dan Parlimen majoriti KDM.

“Shafie memahami yang (presiden STAR) Jeffrey Kitingan mungkin masih belum berpuas hati dalam kerajaan GRS yang hanya ditawarkan jawatan kurang menyerlah di peringkat kerajaan negeri.

“Warisan melihat ini peluang terbuka luas menjalin kerjasama dengan STAR sebagai rakan strategik untuk menghadapi PRN dan PRU akan datang,” kata penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada FMT.

Spekulasi kerjasama Warisan-STAR bertiup kencang susulan kehadiran Shafie ke sambutan Pesta Kaamatan di Keningau, hujung minggu lalu.

Bekas ketua menteri itu turut menyatakan penghargaan kepada Kitingan yang juga timbalan presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) atas undangan.

Menjelang PRN Sabah, STAR keluar GRS dan bertanding atas logonya sendiri namun hanya mampu menang dua berbanding lima kerusi sebelumnya.

STAR kemudian menjadi sebahagian kerajaan GRS pimpinan Hajiji dengan Kitingan dilantik pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (Sama) manakala Adun Bingkor Mohd Ishak Ayub menduduki kerusi pembantu menteri kewangan.

Parti itu turut mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Keningau disandang Kitingan.

Warisan pula walaupun menang 25 kerusi tetapi kalah di semua DUN majoriti KDM, meneruskan rekod buruk pada PRU15 apabila Timbalan Presiden Darell Leiking tumbang di Penampang, satu kawasan simbolik bagi masyarakat KDM.

Lee Kuok Tiung
Lee Kuok Tiung.

Lee Kuok Tiung yang juga dari UMS berpandangan, kehadiran Shafie tidak seharusnya ditafsir sebagai petanda wujud kerjasama politik baharu menjelang PRU16 kerana sambutan perayaan seperti Kaamatan sewajarnya tidak dibatasi sempadan ideologi politik atau kepartian.

Katanya, spekulasi timbul ketika ini banyak dipengaruhi perbincangan di media sosial yang cuba mengaitkan kemesraan kedua-dua pemimpin itu dengan kemungkinan pembentukan jajaran politik baharu.

“Saya kira disebabkan spekulasi-spekulasi yang di muat naik di media sosial yang menjurus kepada spekulasi kemungkinan akan ada jajaran politik baharu menjelang PRU16.

“Sekiranya kedua-duanya berhasrat menjalin kerjasama politik pada masa depan, perlu ambil ‘keberkatan’ akar umbi kerana dalam politik akhirnya akan berbalik kepada mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.