
Pada pandangan peribadi, perjalanan menggunakan jalan darat dari Kota Kinabalu ke kampung halaman sebelah bapa di Lahad Datu bukanlah satu pengalaman menyeronokkan
Mengapa saya berkata begitu, sedangkan perjalanan itu turut dihiasi panorama indah, termasuk pemandangan megah Gunung Kinabalu di Kundasang apabila cuaca mengizinkan?
Jawapannya? Perjalanan lebih lima jam itu perlu melalui jalan raya yang kurang baik, berlubang di banyak tempat, hingga ada pengguna berseloroh ia seperti ‘lalu jalan di bulan’.
Keadaan paling teruk dirasai di sekitar Kinabatangan, laluan yang perlu ditempuh sebelum tiba di Lahad Datu. Seorang rakan saya sering bergurau dan berpesan supaya berehat sebentar di pekan kecil itu untuk ‘merehatkatkan’ kenderaan serta diri sebelum meneruskan perjalanan melalui ‘jalan bulan’ terbabit.
Jika pulang ke kampung sebelah ibu saya di Sook pula, perkara paling membimbangkan ialah bekalan air, terutama pada musim perayaan seperti Krismas apabila ramai anak perantau kembali menemui keluarga tersayang.
Pengalaman menimba air ketika tekanan air rendah semasa pulang menyambut Krismas dua tahun lalu mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak setiap kali balik ke kampung. Ketika itu, kami membantu datuk saya, Jusit Rantai, mengisi bekas dan tong dengan air dari sungai berhampiran kerana belum ada paip air bersih dipasang.
Itulah sebahagian rencah kehidupan penduduk Sabah yang mungkin ada lebih mencabar. Namun perlu diakui telah ada perubahan besar tetapi masih ada ruang diperbaiki untuk kesejahteraan rakyat.
Atas sebab itu, apabila isu tuntutan 40% hasil Sabah kuat berkumandang menjelang PRN tahun lalu, saya melihatnya sebagai antara jalan penyelesaian untuk menampung kos pembangunan dan memajukan negeri kelahiran saya itu.
Bertitik tolak daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berkait tuntutan berkenaan, kerajaan Sabah yang diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor memulakan langkah lebih agresif menuntut hasil yang sepatutnya dibayar, tetapi gagal ditunaikan hampir lima dekad.
Dengan komitmen Putrajaya di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, rundingan antara wakil kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan bermula pada 16 Nov 2025 dan berterusan sehingga kini.
Perkembangannya agak positif. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud bulan lalu menjelaskan kedua-dua kerajaan kini mempunyai kefahaman lebih jelas berhubung angka serta asas pengiraan tuntutan itu.
Selepas menerima mandat pada PRN lalu, kerajaan diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menegaskan pendiriannya, termasuk menggesa pembayaran hasil negeri dimulakan segera bagi komponen cukai yang tidak dipertikaikan, sementara rundingan bagi aspek lain diteruskan.
Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun berkata dua sumber utama yang jelas dan tidak menjadi pertikaian ialah kutipan cukai oleh Jabatan Kastam serta cukai pendapatan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang bagi tahun lalu sahaja berjumlah RM4.69 bilion.
Perkembangan itu menunjukkan kerajaan negeri sememangnya bersolidariti dengan rakyat Sabah dalam isu tuntutan 40%.
Justeru, timbul persoalan mengapa Adun Kapayan Chin Tek Ming mahu membawa usul persendirian pada sidang DUN minggu lalu atas alasan mahu menunjukkan solidariti semua wakil rakyat, sedangkan hakikatnya semua pihak sudah pun menyokong tuntutan berkenaan.
“Saya lihat Adun Kapayan ini bermain politik… mereka fikir kita tidak menyokong tuntutan 40%,” tegas Hajiji, yang terbabit dalam pertikaman lidah dengan Chin dari Warisan.
Mungkin Chin mahu menggambarkan hanya beliau dan Warisan sebagai pihak yang ‘terpaling Sabahan’, selain cuba menuduh kerajaan negeri tunduk kepada Putrajaya, sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Memperbaiki kesilapan Warisan
Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali pula melihat tindakan Chin itu tidak lebih daripada permainan politik supaya Warisan tidak ‘tinggal kapal’ dalam pencapaian perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Malah, menteri persekutuan itu turut memberi pukulan keras apabila menyifatkan permainan politik berkenaan sebagai usaha menutup kelemahan Warisan ketika mentadbir kerajaan Sabah pada 2019.
“Pertama, kerajaan Warisan di DUN pada Ogos 2019 menyebut tidak wajar membawa perjuangan menuntut MA63, termasuk 40%, terhadap kerajaan persekutuan ke mahkamah. Hari ini, mereka pula seolah-olah mahu dilihat lebih konsisten berbanding SLS dan kerajaan negeri.
“Kedua, kerajaan Warisan, atas kelulusan Kabinet Negeri yang diketuainya, telah mengeluarkan surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2019 yang bersetuju dengan semakan kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan hanya pada jumlah RM53.4 juta,” kata Armizan.
Akhirnya, selain memastikan hak Sabah ditegakkan supaya pembangunan dapat dipercepatkan, pendekatan kerajaan pimpinan Hajiji yang memilih rundingan berhemah melalui saluran betul juga dilihat sebagai usaha memperbetul kelemahan pentadbiran sebelum ini.
Isu 40% hasil Sabah bukan sekadar angka di atas kertas. Bagi rakyat biasa, ia berkait rapat dengan jalan raya lebih baik, bekalan air lebih terjamin, sekolah mudah diakses dan pembangunan yang sekian lama dinanti.
Sebab itu perjuangan ini tidak wajar dijadikan medan siapa paling lantang atau siapa ‘terpaling Sabahan’. Yang lebih penting ialah hasilnya benar-benar sampai kepada rakyat dalam cara paling rasional tanpa konfrontasi.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.