Penganjur ‘pusat keamanan’ Saudi di Putrajaya dikaitkan dengan ekstremisme

putrajaya_mwl_600

PETALING JAYA: Sebuah organisasi berpangkalan di Arab Saudi yang terbabit dengan “pusat keamanan” yang bakal didirikan di Putrajaya terpalit dengan sejarah panjang sebagai alat kerajaan Arab Saudi mempromosikan ideologi ekstremisme dan fahaman Islam dianuti pemimpin negara itu.

Liga Muslim Dunia (MWL), sebuah pertubuhan dibiayai Riyadh sejak beberapa dekad dengan tujuan mempromosi imej Islam rejim Saudi di seluruh dunia, sebelum ini dikatakan antara yang pihak terbabit dalam penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), yang disebut sebagai usaha bersama Malaysia dan Arab Saudi melawan keganasan.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pusat itu hasil perbincangan Malaysia dan pegawai Arab Saudi, dan bakal mempunyai sebuah bangunan kekal di tanah seluas 16 hektar di Putrajaya.

Butiran mengenai peranan sebenar pusat itu masih tidak jelas. Begitu juga, masih kabur mengapa ia memerlukan tanah yang begitu luas, iaitu menyamai keluasan hampir 20 padang bola Olimpik.

Pusat itu turut dikaitkan dengan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai, Negeri Sembilan, yang mengalu-alukan penubuhan KSCIP di kampusnya.

Usim dalam kenyataan dikeluarkan selepas kunjungan Raja Arab Saudi, Salman Abdulaziz ke Malaysia pada Mac lalu, berkata KSCIP ditubuhkan bersama oleh Kementerian Pertahanan kedua-dua negara dan MWL, atau lebih dikenali dengan nama Arabnya, Rabitah al-Alam al-Islami.

Tetapi, MWL mempunyai sejarah mempromosi fahaman Wahabi, atau apa yang kerap dirujuk penyokongnya sebagai “Salafi”.

Fahaman Wahabi muncul di Semenanjung Arab pada 1800-an, dan pendokongnya bekerjasama dengan dengan keluarga Saud sehingga berjaya menubuhkan Arab Saudi sekarang.

Aliran Islam kontroversi itu berdasarkan terjemahan harfiah teks Islam dan dikaitkan secara rapat dengan banyak cabangnya yang lebih militan, termasuk Taliban, Al Qaeda dan terbaru IS, walaupun pemerintah Saudi berusaha sedaya upaya menjauhkan diri dari kumpulan tersebut.

Doktrin itu biasanya disalah anggap sebagai sebahagian Sunni Islam, dan antara sikapnya yang terkenal ialah pandangannya mengenai hak wanita, yang seterusnya membawa kepada larangan wanita memandu kenderaan, di samping wanita perlu ditemani seorang lelaki muhrim ketika dalam perjalanan.

Akhbar berbahasa Arab, Al-Araby Al-Jadeed yang berpangkalan di London baru-baru ini melaporkan MWL turut menyokong kuat tindakan boikot negara Arab ke atas Qatar dan penerbitan senarai nama yang mendakwa individu dan organisasi terkenal menyokong keganasan.

Antara yang dituduh dalam senarai dianjurkan Arab Saudi itu ialah Dr Yusuf al-Qaradawi, ulama terkenal yang menjadi rujukan penting ilmu fekah semasa, yang pernah dianugerahi Tokoh Maal Hijrah daripada kerajaan Malaysia pada 2009.

Bulan lalu, MWL kembali aktif menyokong dasar Riyadh dengan mengumumkan ia memutuskan hubungan dengan Qaradawi.

Kaitan dengan Taliban, IS

Sudah bertahun lamanya MWL bertindak sebagai lidah dan jurucakap dasar Riyadh di negara Islam lain.

Dengan dilimpahi wang Saudi selama beberapa dekad, ia membiayai pembinaan pusat Islam berskala besar di bandar raya Eropah dan mempromosi kegiatan dakwah Islam di Asia dan Afrika.

Aktivitinya termasuk penerbitan majalah Islam, menganjurkan kursus Islam dan mengedarkan berjuta-juta naskhah Al-Quran, di mana ia hanya memakai terjermahan yang direstui agamawan Saudi.

Pada 2001, sebulan selepas serangan 9/11, majalah Newsweek melaporkan MWL dan sekutunya, International Islamic Relief Organization, digunakan Osama bin Laden – pemimpin Al Qaeda kelahiran Arab Saudi yang dibunuh pasukan khas Amerika Syarikat pada 2011 – untuk membiayai operasinya.

Majalah itu melaporkan organisasi berkenaan dikeluarkan daripada senarai kumpulan disekat Washington “untuk mengelak memalukan” rejim Saudi, yang dianggap proksi paling kuat AS di Timur Tengah.

Baru-baru ini, selepas siri serangan pengganas di Britain, sebuah laporan menamakan MWL terbabit dalam ekstremisme Islam.

Laporan bertajuk “Ekstremisme Dibiayai Asing di UK” dikeluarkan awal bulan ini oleh sebuah badan pemikir Henry Jackson Society, dan menamakan MWL dan organisasi sepemunya, Himpunan Belia Islam Dunia (WAMY).

Antara lain, laporan itu berkata, WAMY “mempunyai sejarah lama terbabit dalam menggalakkan ekstremisme Islam yang ganas dan pengedaran bahan bacaan menjurus kebencian” di Britain.

“Sama juga MWL mempunyai pegawai dan organisasi anggota yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Taliban,” menurut laporan itu.