
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia pada jam 2.16 petang tadi.
“Setakat hari ini, ada 4 kes disahkan jangkitan rabies di Serian, Sarawak, dengan 3 daripada pesakit itu meninggal dunia.
“Dalam kes ke-4, pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak dan beliau kini dalam keadaan kritikal,” katanya.
Dr Hisham berkata, tiada kes baharu dilaporkan tetapi Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melakukan “Pengesanan Kes Aktif (ACD)” bagi mengesan kes gigitan anjing di kawasan terjejas di Serian.
ACD sudah dilakukan di 96 lokaliti membabitkan 5,663 rumah dan 21,978 penduduk yang ditemu duga berhubung sejarah gigitan anjing.
“Sejumlah 225 kes dikesan di Serian dan diberikan rawatan.”
Pada 4 Julai lalu, 2 beradik – Jackson Mazlan, 4, dan kakaknya, Monica, 6, dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian, meninggal dunia selepas ibu bapa mereka membenarkan doktor mencabut sistem sokongan hayat memandangkan hasil diagnosis mengesahkan mereka mati otak.