Hapus ‘kuasa kehakiman’: Jangan salahkan saya, kata Dr M

mahathir-court

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bukan beliau dalang menghapuskan kuasa kehakiman mahkamah.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, aduan itu daripada pihak atasan.

“Saya sudah jelaskan perkara itu, tetapi orang ramai masih kata kerana saya lah ketua hakim negara dan para hakim disingkir. Bukan saya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas dakwaan bekas hakim Datuk Seri Gopal Sri Ram yang beliau dan bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman mendalangi pindaan Perlembagaan Persekutuan 1988, yang menghapuskan kuasa kehakiman mahkamah.

Gopal berkata langkah itu selepas Mahkamah Agung dalam kes Pendakwaraya lwn Yap Peng memutuskan peguam negara, yang juga pendakwaraya, tiada budi bicara memohon kes jenayah dipindahkan. Mahkamah memutuskan kuasa memindahkan kes terletak di bawah kuasa kehakiman.

Pada 1988, Tun Salleh Abas, yang merupakan ketua hakim negara ketika itu, disingkir dari jawatannya manakala 5 hakim Mahkamah Agung lain digantung.

Pada 17 Mac 1988, Dr Mahathir menggerakkan rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1988 di Dewan Rakyat. Fasal 8 RUU itu mahu mengeluarkan istilah “kuasa kehakiman” dari Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan. RUU itu diluluskan.

Pengamal undang-undang merasakan niat Eksekutif mengerakkan pindaan itu pada asasnya untuk menghapuskan bidang kuasa mahkamah dan meletakkan badan kehakiman di bawah Parlimen.

Gopal turut mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya, yang menyatakan pindaan 1988 untuk mengawal kausa badan kehakiman bertentangan dengan struktur asas undang-undang negara. Gopal menyifatkan keputusan itu sebagai berani.

Hakim Datuk Zainun Ali, yang membuat keputusan bersejarah itu pada 20 April lalu, berkata pindaan itu menjejaskan pemisahan kuasa dan kebebasan badan kehakiman.

“Dengan terhapusnya kuasa kehakiman dari bidang kuasa kehakiman, institusi itu secara efektif di bawah Parlimen, dengan implikasi Parlimen jadi berkuasa ke atasnya,” kata Zainun.

Dalam keputusan 85 halaman itu, beliau berkata hasilnya tidak konsisten dengan keagungan perlembagaan seperti yang termaktub dalam Perkara 4(1).

Keputusan itu beralih daripada keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan pada 2008 yang memberi tafsiran Perkara 121(1) yang sempit iaitu mahkamah tersebut mendapat kuasanya daripada Parlimen.