KDN minta data UNHCR bendung kemasukan militan IS

jazlan-isis-unhcr

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkongsi pangkalan data pelarian dan pencari suaka bagi membendung kemasukan militan IS, lapor Channel NewsAsia.

Timbalan Menteri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihak berkuasa bimbang terdapatnya militan IS dalam kalangan kira-kira 150,000 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar.

“Kita bimbang mereka menyusup masuk dan memperoleh kad UNHCR untuk bergerak bebas di negara ini.”

Nur Jazlan berkata UNHCR mengeluarkan kad tersebut tetapi KDN tidak terlibat dalam proses pemeriksaan.

“Mereka tidak mengumpul data biometrik dan ia tidak membantu usaha penguatkuasaan terutamanya terhadap jenayah transnasional, pemerdagangan manusia dan keganasan.

“Jadi, kami ingin tahu adakah individu yang dikaitkan dengan IS masuk ke negara ini.”

Beliau menambah, sejak bilangan pelarian semakin meningkat dan rakyat mulai bimbang dengan jumlahnya, sudah tiba masanya kerajaan mengenalpasti dan menutup semua laluan yang membolehkan pelarian ini masuk ke negara ini termasuk melalui UNHCR.

Beliau berkata KDN sedang menimbang untuk terus ke komuniti pelarian tersebut untuk mengumpul data biometrik termasuk pengesanan wajah.

Wakil UNHCR di Kuala Lumpur bagaimanapun masih belum menjawab pertanyaan media.

Berdasarkan laman web UNHCR, terdapat 149,200 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan agensi di Malaysia sehingga Jun 2017.

Daripada jumlah itu, 90% berasal dari Myanmar yang terdiri daripada etnik Rohingya, Chin dan etnik lain dari Rakhine dan negeri lain.

16,700 daripada mereka pula berasal dari negara seperti 3,800 dari Pakistan, 2,200 (Sri Lanka), 2,100 (Yaman), 2,100 (Somalia), 1,900 (Syria), 1,400 (Iraq), 1,100 (Afghanistan) dan 700 (Palestin).

Sebanyak 67% daripada mereka ialah lelaki, 33% wanita dan 37,000 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.