Banjir di Sarawak, Sabah paksa sekolah ditutup, penduduk pindah

Banjir di Sarawak, Sabah paksa sekolah ditutup, penduduk pindah

Hujan berterusan sejak semalam memaksa persekolahan ratusan pelajar terjejas.

sabah-sarawak-banjir
MIRI: Tiga sekolah rendah melibatkan seramai 444 murid di pedalaman Sarawak tidak dapat meneruskan sesi persekolahan hari ini akibat banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (JBNS) berkata sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kebulu, SK Kuala Sigu dan SK Bukit Balai.

“Selain itu, 6 sekolah turut terjejas kerana banjir tetapi masih beroperasi hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekolah tersebut ialah SK Sungai Genaam, SK Bukit Mawang, SK Kuala Binyo, SK Long Bemang, SK Ng Balingiau dan SK Ukong.

“Jumlah keseluruhan murid dari enam sekolah tersebut ialah 435 dan keadaan banjir di sekolah terbabit masih terkawal,” katanya.

Di Sabah, hujan berterusan sejak tengah hari semalam mengakibatkan banjir di Kota Belud sehingga 37 mangsa daripada 7 keluarga terpaksa dipindahkan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin dalam kenyataanya hari ini berkata, mangsa banjir itu dipindahkan ke Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud, kira-kira 73km dari sini sejak awal pagi tadi.

Tujuh kampung terjejas akibat banjir itu dan sebuah jambatan gantung di Kampung Botung Narinang turut terputus dan dihanyutkan air.

Di Papar pula, seramai 50 mangsa dari beberapa kampung ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Penampang Baru, Kimanis.

Daripada jumlah itu, 47 orang daripada 18 keluarga Kampung Penampang Baru Kimanis manakala 3 mangsa lagi dari Kampung Lingan Baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.