Ketua polis negeri kata IS rancang serangan di Perak

Ketua polis negeri kata IS rancang serangan di Perak

Laporan perisikan menunjukkan kumpulan pengganas menyasarkan tempat awam seperti bank dan rumah ibadat, kata Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan.

hasnan
PETALING JAYA:
Polis mendedahkan IS merancang untuk melancarkan serangan di Perak sempena sambutan Hari Merdeka yang bakal tiba.

China Press melaporkan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan memetik laporan perisikan yang melaporkan IS menyasarkan tempat awam seperti bank dan rumah ibadat.

Beliau menambah polis mengambil langkah berjaga-jaga dan mempertingkatkan rondaan di neger itu.

Perkembangan ini muncul setahun selepas IS menyerang kelab Movida, Puchong, iaitu satu-satunya serangan IS yang berjaya dilakukan di Malaysia.

Serangan berlaku pada pukul 2.00 pagi 28 Jun 2016, semasa pelanggan menonton siaran langsung perlawanan bola sepak Euro. Lapan orang cedera dalam letupan yang disebabkan bom tangan.

IS kemudian mengaku bertanggungjawab, mengatakan serangan tersebut disasarkan terhadap aktiviti maksiat di bulan Ramadan.

Bulan lepas, laporan mengatakan kumpulan pengganas itu cuba mewujudkan kubu di Asia dengan menumpukan kawasan tertentu yang mempunyai penduduk Islam.

Sementara itu, pada 7 Ogos lalu, polis memulakan operasi bersepadu memberkas orang asing yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi sekitar Lembah Klang dijalankan bagi memastikan acara kesukanan itu berjalan lancar.

“Kita akan mengesan dan bertindak terhadap orang asing yang disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas, terutamanya yang terlibat dalam aktiviti di Syria,” katanya.

Dalam operasi itu, 275 orang terdiri daripada rakyat tempatan dan individu dari Bangaldesh, India, Pakistan, Nepal, Indonesia, Myanmar, Oman, Yemen, Uzbekistan, Thailand, Nigeria, dan Sri Lanka dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.