Ahli PKR ditahan sebelum protes ‘sambut’ Najib

Ahli PKR ditahan sebelum protes ‘sambut’ Najib

Ahli PKR itu dalam perjalanan mengadakan bantahan di luar Politeknik Seberang Perai di mana perdana menteri dijadualkan menghadiri jamuan tengah hari bersama rakyat.

fahmi-zainol
BUTTERWORTH: Sekumpulan ahli PKR ditahan polis di luar Politeknik Seberang Perai sebelum mereka sempat mengadakan protes “menyambut” ketibaan perdana menteri.

Penahanan itu dibuat ketika kumpulan berkenaan dalam perjalanan ke lokasi mengadakan bantahan dekat sebuah stesen minyak Petronas di Jalan Permatang Pauh.

Difahamkan, 5 ahli Pemuda PKR Pulau Pinang antara mereka yang ditahan.

Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, Ong Jing Cheng dan ahli Pemuda PKR serta bekas aktivis pelajar, Fahmi Zainol dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bukit Mertajam di Bandar Perda.

Menurut risalah PKR, bantahan itu bertujuan mendesak Datuk Seri Najib Razak membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan di Sungai Buloh atas kesalahan meliwat bekas pembantunya.

Najib berada di Pulau Pinang hari ini untuk menghadiri beberapa program, termasuk jamuan makan bersila bersama perdana menteri terbesar untuk dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Kemudian, Najib dijadual mendedahkan pelan tindakan wilayah utara di mana kira-kira 80 projek dijangka diumumkan.

FMT masih cuba menghubungi Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid untuk mendapatkan pengesahan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengecam penahanan 15 ahli Pemuda PKR negeri yang mengadakan “flash mob” di pintu masuk Politeknik Seberang Prai.

Naib ketua Pemuda PKR itu menyifatkan penahanan itu tamparan hebat terhadap amalan demokrasi di Malaysia kerana kerajaan tidak menghormati prinsip demokrasi dan hak bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Anak-anak muda yang berkumpul ini tidak membaling kerusi, suar mahupun selipar terhadap sesiapa. Mereka hanya memegang plakad secara aman untuk menyatakan pendirian politik mereka.

“Adakah ini ditakrifkan pihak berkuasa sebagai satu ‘ancaman’ sehingga perlu menangkap peserta ‘flash mob’ aman?” soalnya dalam kenyataan hari ini sambil menggesa semua individu yang ditahan pagi tadi dibebaskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.