Mahkamah tolak cubaan Dr M, pendengaran RCI diteruskan Isnin

Mahkamah tolak cubaan Dr M, pendengaran RCI diteruskan Isnin

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak cubaan Dr Mahathir Mohamad mencabar pengerusi dan ahli RCI.

mahathir_rci_new_600
KUALA LUMPUR:
Pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian tukaran mata wang asing (forex) dialami Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an, akan diteruskan Isnin depan seperti jadual.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak cubaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi mencabar penyingkiran Tan Sri Sidek Hassan yang mempengerusikan RCI itu dan ahlinya, Tan Sri Saw Choo Boon.

Hakim, Datin Azizah Nawawi berkata, ahli RCI tiada kuasa untuk menarik diri, oleh itu tiada keputusan rasmi dibuat berhubung permohonan itu.

Beliau berkata, mahkamah tidak boleh memberi perintah mandamus yang dipohon Dr Mahathir, iaitu arahan untuk memaksa kerajaan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membatalkan pelantikan 2 lelaki itu kerana perintah mandamus untuk penjawat awam, bukannya kerajaan sendiri.

Tiada arahan untuk pembayaran kos dibuat.

Isnin lalu, kerajaan membantah permohonan Dr Mahathir untuk semakan kehakiman bagi mencabar komposisi RCI dengan berkata, bekas perdana menteri itu tiada hak mendapatkan semakan kehakiman dan keputusan panel itu tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu wartawan di luar mahkamah, mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Rabu lalu, Dr Mahathir memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mengetepikan keengganan RCI membatalkan pelantikan Sidek dan Saw.

Tambahan, Dr Mahathir meminta 6 panel RCI digantung daripada pendengaran sementara menunggu keputusan mahkamah.

Beliau mendakwa komposisi RCI melanggar keadilan asasi kerana Sidek dan Saw sebelum ini menganggotai pasukan petugas yang menyiasat kerugian dialami BNM pada 1990-an.

RCI yang ditubuhkan pada 1 Julai lalu bertujuan:

– menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga forex yang dialami BNM sekitar 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

– menentukan sama ada pembabitan BNM dalam aktiviti forex yang menyebabkan kerugian tersebut bertentangan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang berkaitan.

– menentukan sama ada terdapat elemen fakta dan maklumat tersembunyi berhubung kerugian forex dialami BNM dan memberikan kenyataan mengelirukan kepada Kabinet, Parlimen dan rakyat.

– mengesyorkan tindakan sesuai untuk diambil terhadap pihak terbabit secara langsung dan/atau tidak langsung dalam menyebabkan kerugian BNM serta fakta serta maklumat tersembunyi berhubung kerugian itu, dan

– mengesyorkan langkah sesuai bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Selain Sidek dan Saw, ahli lain terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaluddin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan, ahli Institut Akauntan Malaysia yang juga ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia serta bekas rakan kongsi firma Ernst & Young, Pushpanathan S A Kanagarayar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.