
Anwar berkata yang juga Menteri Kewangan berkata krisis tenaga dunia mempunyai kaitan langsung terhadap kedudukan ekonomi negara dan jika berlarutan maka kajian baharu harus dibuat, lapor Harian Metro.
“Kalau berlarutan maka kita terpaksa membuat kajian-kajian baharu. Unjuran pertumbuhan kita, projek-projek besar semuanya harus dikaji semula,” katanya ketika berucap dalam satu program di SMK Clifford di Kuala Kangsar, Perak.
“Kita ada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas presiden serta bekas CEO Petronas Hassan Marican untuk bantu saya di pejabat.
“Menteri-menteri semua terpaksa bertungkus-lumus betulkan keadaan,” katanya.
Bulan lalu, Bank Negara (BNM) mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4% hingga 5% pada 2026 meskipun perang Iran yang berterusan, yang menyebabkan lonjakan harga minyak mentah serta krisis tenaga di beberapa negara.
Angka itu naik sedikit berbanding unjuran awal kerajaan iaitu sebanyak 4% hingga 4.5% pertumbuhan KDNK bagi tahun ini.
Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara berskala besar ke atas Iran pada 28 Februari, yang mendorong serangan balas oleh Iran terhadap pangkalan Amerika Syarikat dan kedudukan sekutunya.
Iran menutup Selat Hormuz susulan serangan tersebut, sekali gus menjejaskan laluan utama tenaga dan mencetuskan krisis tenaga yang menimbulkan kebimbangan inflasi di peringkat global.