
“Entah macam mana, peruntukan itu pergi ke tempat lain. Tetapi, saya berharap kali ini mereka akan mendapatkannya terus daripada kerajaan,” katanya kepada FMT.
Sehubungan itu, beliau berjanji akan melakukan lebih baik untuk membantu masyarakat India jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi PH itu merujuk kemungkinan kerajaan akan bertukar tangan selepas PRU14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya tahun depan.
Dalam temu bual dengan FMT sebelum ini, beliau tidak menolak kemungkinan PH boleh memenangi PRU14, jika gabungan pembangkang itu mendapat sokongan semua kaum.
Ada pihak meramalkan undi orang Melayu yang merupakan majoriti pengundi, akan berpecah antara PH, Barisan Nasional dan PAS.
Dr Mahathir berkata, ini merupakan sebab beliau percaya kaum minoriti akan menjadi penentu dalam PRU14.
Bagaimanapun, ramai penganalisis melihat kaum India sebagai penentu PRU14 dan Dr Mahathir nampaknya bersetuju dengan pendapat itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga nampaknya menyedari hal itu. Bulan lalu, beliau mendakwa menerima pujian kerana melakukan lebih banyak usaha membantu pendidikan bahasa Tamil berbanding seorang bekas perdana menteri “berketurunan India”, jelas ia merujuk Dr Mahathir.
Najib berkata, membangunkan masyarakat India menjadi agenda pentadbirannya sejak beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 2009. Katanya, beliau memperuntukkan RM900 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil.
Najib menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) yang dilancarkan pada April lalu, memberi peruntukan RM500 juta di bawah Permodalan Nasional Berhad khusus untuk kumpulan termiskin dalam masyarakat India.
Tetapi, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak fikir beliau mampu berbuat demikian kerana beliau tiada wang.”
Beliau mendakwa kementerian dimaklumkan mereka hanya boleh membelanjakan 70% daripada peruntukan yang dijanjikan dalam Bajet 2017.
“Mereka tidak akan dapat 30% peruntukan itu kerana tiada wang lagi. Wang itu silap dibelanjakan untuk merasuah rakyat.
“Contohnya, BN berjanji memberi RM5 bilion kepada Langkawi, tetapi sehingga kini, kami belum terima 1 sen pun.”
Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan terdapat 1,362,000 orang India yang layak mengundi setakat Februari lalu. Bagaimanapun, hanya 985,000 orang mendaftar sebagai pengundi.
Penganalisis berkata, pengundi India akan memainkan peranan penting di sekurang-kurangnya 58 kerusi Parlimen.