Dr M: ‘Orang hadir majlis Najib kerana duit, program saya tidak’

Dr M: ‘Orang hadir majlis Najib kerana duit, program saya tidak’

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Najib terpaksa bertindak sedemikian kerana jika tidak orang ramai tidak mahu menghadiri program berkenaan.

najib-mahathir
KEPALA BATAS:
Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan serangan politik terhadap Datuk Seri Najib Razak dengan mendakwa perdana menteri itu tidak dapat menarik kehadiran orang ramai dalam program termasuk terbaharu di Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat PKR jika bukan kerana wang sebagai ‘daya tarikan’.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Najib terpaksa bertindak sedemikian kerana jika tidak orang ramai tidak mahu menghadiri program berkenaan.

Sebaliknya Dr Mahathir berkata orang ramai yang hadir program beliau tidak dibayar sebarang duit.

“Kononnya Najib berjuang untuk Islam, tetapi makan duduk bersila, itulah perjuangan Najib yang sebenarnya,” katanya dalam ceramah Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat di Kepala Batas, malam tadi.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menyentuh lawatan Najib yang turut menghadiri majlis kenduri bersama kira-kira 20,000 orang di Politeknik Seberang Perai, Khamis lalu.

Majlis itu dijangka dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai acara paling ramai makan secara bersila dan makan secara berhidang mengikut adat tradisional masyarakat Melayu.

Dr Mahathir yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun berkata, situasi berbeza terjadi dalam ceramahnya pada kali ini bersama kira-kira 3,000 penduduk Pulau Pinang.

Katanya, rakyat dari Pulau Pinang dan beberapa negeri lain hadir tanpa mendapat sebarang bayaran atau upah bahkan sanggup menunggu hingga ke tengah malam demi mendengar syarahan pemimpin PH.

“Dalam ceramah kita, tidak ada seorang pun kita bayar untuk datang, sebabnya kita sendiri tidak ada duit. Tetapi hendak kutip duit bolehlah,” kata beliau disambut gelak tawa hadirin yang datang.

Dr Mahathir berkata, beliau turut diberitahu yang Umno memberi wang sebanyak RM100 kepada 5,000 orang penduduk di Alor Setar, Kedah.

“Duit yang ada pula digunakan untuk sogokan. Saya diberitahu di Alor Setar yang mempunyai penduduk seramai 5,000 orang.

“Umno datang ketuk pintu kononnya buat perkiraan. Apabila buka pintu, dihulur wang setiap seorang RM100,” katanya.

Jelas Dr Mahathir, itulah cara Umno untuk membeli sokongan ketika ini tatkala Pilihan Raya Umum ke-14 hampir tiba.

“Itulah cara nak beli sokongan. Duit itu datang dari mana, datang dari cukai kerajaan. Sogokan ini diberi kepada orang itu supaya menyokong Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.