PAS: Walau terlewat 32 tahun, RCI Memali dinantikan waris mangsa

PAS: Walau terlewat 32 tahun, RCI Memali dinantikan waris mangsa

Kerajaan juga perlu memberikan pampasan kepada waris pengikut Ibrahim Mahmud dan anggota polis yang terkorban sebagai tanda penyesalan, kata ketua penerangan Dewan Ulama PAS.

khairuddin
PETALING JAYA:
Walaupun terlewat 32 tahun, kesediaan kerajaan pertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji peristiwa Memali 1985 dinanti-nantikan waris mangsa dan PAS, kata Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Pengarah Institut Strategi PAS Pusat itu berkata, kerajaan bertanggungjawab menjalankan siasatan bebas yang boleh membongkar “misteri” di sebalik arahan kepada pasukan polis sehingga berlakunya tragedi berdarah.

“Mereka yang terlibat perlu diambil tindakan sekiranya terbukti bersalah. Dalam masa yang sama ahli keluarga yang menanggung derita hasil tragedi itu, sama ada di pihak orang kampung atau di pihak polis, perlu segera diberikan pampasan sebagai tanda kerajaan sangat menyesali apa yang telah berlaku ketika itu,” katanya kepada FMT.

Bekas ketua penerangan Dewan Ulama itu mengulas kenyataan Zahid yang menyatakan kerajaan sedia pertimbangkan penubuhan RCI untuk mengkaji peristiwa Memali 1985 jika ada permintaan dari individu, pertubuhan atau parti politik.

Sekiranya ditubuhkan, RCI itu merupakan suruhanjaya siasatan kedua yang ditubuhkan untuk menyiasat peristiwa yang berlaku di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

PAS pada 16 Ogos lalu menggesa kerajaan menubuhkan RCI dan menggesa kerajaan memohon maaf di atas konfrontasi antara pihak berkuasa dan pengikut penceramah agama Ibrahim Mahmud di Kampung Memali di Baling, Kedah, yang menyaksikan Ibrahim, 13 pengikutnya dan 4 anggota polis terbunuh.

Kerajaan pernah menerbitkan kertas putih Peristiwa Memali yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 1986.

Namun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata saksi kejadian mendakwa Kertas Perintah 21 itu satu “pembohongan”.

Isu ini kembali hangat selepas kekecohan yang berlaku di forum “Nothing to Hide 2.0” Ahad lepas, selepas objek dilontarkan ke pentas semasa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin mengenai peristiwa itu.

Kerajaan sedia pertimbang RCI kaji tragedi Memali, kata Zahid

PAS gesa RCI Memali, kerajaan mohon maaf

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.