
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Badlisham Ghazali memberitahu The Edge, semakan berterusan terhadap program insentif 3 tahun bagi syarikat penerbangan akan memastikan insentif lebih disasarkan.
Penjimatan itu boleh digunakan untuk mempromosi lokasi tertentu sebagai destinasi pelancongan untuk menarik pelancong asing.
“Kami fikir perlu ada beberapa bentuk rasionalisasi. Kami mahu melihat bagaimana insentif ini boleh disusun semula.”
Katanya, pengurangan insentif itu akan membolehkan MAHB menggunakan dana itu untuk tujuan lain, termasuk melabur semula simpanan dalam pembesaran dan meningkatkan kemudahan lapangan terbang.
Ketika ini, syarikat penerbangan yang menunjukkan pertambahan jumlah penumpang bukan domestik akan diberikan insentif tunai oleh MAHB bagi setiap penumpang. Insentif itu dibayar berdasarkan jumlah pertambahan berbanding tahun sebelumnya.
Misalnya, jika sebuah syarikat penerbangan mempunyai 12 juta penumpang bukan domestik pada 2016 berbanding 10 juta pada 2015, tambahan 2 juta penumpang bukan domestik itu layak mendapat insentif daripada MAHB.
Bagi syarikat penerbangan dan laluan sedia ada, insentif itu antara RM10 hingga RM15 bagi setiap penumpang Asean serta antarabangsa, menurut laporan itu.
Bagaimanapun, bagi syarikat penerbangan dan laluan baru, peningkatan penumpang Asean dari tahun ke tahun ke lapangan terbang di Langkawi, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu akan melayakkan syarikat penerbangan itu mendapat RM25 bagi setiap penumpang pada tahun pertama.
Syarikat penerbangan baru juga dikecualikan caj parkir dan pendaratan untuk 3 tahun pertama.
Badlisham berkata, program insentif – untuk bayaran setiap penumpang dan pendapatan tetap daripada parkir dan caj pendaratan percuma – menyebabkan pengendali lapangan terbang itu menanggung kos RM800 juta sepanjang dekad lalu.