Kos bahan api melonjak, Loke jangka tambang udara naik

Kos bahan api melonjak, Loke jangka tambang udara naik

Menteri pengangkutan berkata, kerajaan tak campur tangan kawal harga kerana khuatir syarikat penerbangan tak mampu tanggung kos.

mas airlines
Menteri pengangkutan berkata, syarikat penerbangan tak dapat elak kenakan surcaj bahan api sebagai tambahan kepada harga tiket kerana kos sudah terlalu tinggi. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengingatkan orang ramai agar bersedia berdepan kenaikan harga tiket penerbangan dalam masa terdekat berikutan peningkatan mendadak kos bahan api jet pada peringkat global.

Loke berkata, syarikat penerbangan kini terpaksa mengenakan surcaj bahan api bagi menampung kos operasi yang tinggi, selain melaksanakan rasionalisasi penerbangan bagi memastikan kecekapan sektor tersebut.

“Memang (tambang) akan meningkat. Syarikat penerbangan sekarang telah kenakan surcaj bahan api sebagai tambahan kepada tiket mereka.

“Ini langkah tidak dapat dielakkan kerana kos bahan api jet sudah terlalu tinggi untuk mereka beroperasi,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya, langkah rasionalisasi itu mungkin melibatkan penggabungan penerbangan sekiranya faktor muatan terlalu rendah bagi sesetengah sektor.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan dasar penetapan harga siling bagi tiket penerbangan kerana ia pasaran bebas yang bergantung pada penawaran dan permintaan.

“Jika kita campur tangan dan kawal harga sehingga mereka tidak dapat menampung kos, syarikat mungkin batalkan penerbangan.

“Kesannya lebih negatif kepada ekonomi dan sektor pelancongan negara,” katanya.

Terdahulu, Loke mendedahkan kerajaan kini beroperasi dalam ‘mod krisis’ bagi mendepani impak ketidaktentuan global yang menyebabkan kos tenaga dunia melonjak lebih 100% dalam tempoh singkat.

Beliau memberi amaran, walaupun bekalan bahan api negara dijamin stabil sehingga Mei ini, rakyat tidak seharusnya mengambil mudah situasi semasa memandangkan negara jiran sudah mula mengalami gangguan bekalan serius.

“Kerajaan fokus pastikan bekalan bahan api kekal, namun jika peperangan berlarutan, kita tidak boleh jamin bekalan tidak terganggu pada masa akan datang,” katanya.

“Kita mesti bertanggungjawab pastikan sumber tenaga tidak dibazirkan. Contohnya, kurangkan perjalanan tidak perlu, gunakan pengangkutan awam atau amalkan berkongsi kenderaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.