
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata pasaran akan kekal berhati-hati serta mengambil langkah tunggu dan lihat, bagi menunggu hasil mesyuarat tahunan bank-bank pusat di Jackson Hole, Wyoming, Amerika Syarikat (AS).
“Semua tumpuan terarah kepada ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Janet Yellen pada Jumaat (semalam), yang dijangka memberi petunjuk bagi dasar monetari serta unjuran kadar faedah.
“Selain Yellen, yang akan mengakhiri tempoh jawatan pengerusi Fed pada Februari 2018, Presiden Bank Pusat Eropah, Mario Draghi juga memberi ucapan semasa mesyuarat itu, yang berlangsung dari 24 hingga 26 Ogos,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Nazri Khan berkata faktor domestik masih baik dengan ringgit kekal berada di bawah paras 4.30 berbanding dolar AS, dan telah meningkat sebanyak 4.5% daripada Januari tahun ini, ditambah harga komoditi yang stabil dengan minyak mentah melebihi AS$50 setong dan minyak sawit mentah di atas paras RM2,500 setan.
“Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia yang berkembang 5.8% pada suku kedua tahun ini menunjukkan momentum (positif) dalam pertumbuhan ekonomi. Ini mengatasi jangkaan, mengambil kira unjuran sepakat dalam kalangan pakar ekonomi iaitu kira-kira 5.4%.
“Saya melihat faktor tempatan akan menyokong pasaran minggu depan manakala faktor luaran berpotensi menjejaskannya, mendorong pasaran bergerak mendatar,” katanya.
Bagi minggu yang baharu berakhir, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 7.05 mata kepada1,769.17 daripada 1,776.22 minggu lepas.
Pergerakan dagangan dipengaruhi oleh perkembangan luaran, khususnya pergerakan di Wall Street yang mengambil petunjuk daripada mesyuarat 3 hari di AS itu selain Presiden AS Donald Trump yang mengancam melumpuhkan kerajaan jika mereka enggan membiayai pembinaan tembok sepanjang sempadan AS-Mexico.
Di peringkat tempatan, kegagalan penggabungan RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd turut memberi sentimen negatif kepada Bursa Malaysia.
Berdasarkan mingguan, Indeks FBM Emas susut 18.22 mata kepada 12,608.00, Indeks FBMT 100 kurang 18.07 mata kepada 12,266.19.
Indeks FBM Emas Syariah naik 26.63 mata kepada 12,797.51, FBM 70 meningkat 93.72 matakepada 15,086.63, dan FBM Ace melonjak 154.57 mata kepada 6,666.57.
Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 84.28 mata kepada 16,693.20, Indeks Perusahaan kurang 12.52 mata kepada 3,217.76 bagaimanapun Indeks Perladangan menokok 36.04 mata kepada 7,861.04.
Jumlah dagangan keseluruhan meningkat kepada 9.60 bilion unit bernilai RM9.55 bilion daripada 8.30 bilion unit bernilai RM8.75 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama melonjak kepada 5.8 bilion saham bernilai RM8.71 bilion daripada 4.83 bilion saham bernilai RM7.91 bilion.
Sementara itu, jumlah dagangan waran susut kepada 1.1 bilion unit bernilai RM148.80 juta daripada 1.30 bilion unit bernilai RM180.59 juta minggu lepas.
Dagangan di Pasaran ACE Market pula meningkat kepada 2.65 bilion saham bernilai RM679.78 juta daripada 2.10 bilion saham bernilai RM644.49 juta.