Polemik gaji graduan: Paras permulaan sepatutnya RM3,000?

Polemik gaji graduan: Paras permulaan sepatutnya RM3,000?

Sementara graduan dan kesatuan sekerja menganggap RM3,000 sebagai paras realistik, pihak majikan mempunyai pendirian yang berbeza.

j-solomon-1
PETALING JAYA: Mengambil kira kos sara hidup yang tinggi termasuk sewa, petrol dan makanan, graduan memasuki alam pekerjaan mengharapkan gaji permulaan sebanyak RM3,000.

Bagi mereka paras itu adalah realistik dan satu-satunya cara mereka dapat memenuhi keperluan hidup seharian.

Kebelakangan ini peningkatan kos sara hidup menjadi tumpuan utama dalam menentukan kadar upah dengan para penganalisis berpandangan gaji tidak mengikut peredaran masa.

Lulusan jurusan perubatan Taufik Mohamad berkata gaji RM2,500 cukup untuk menampung perbelanjaannya di bandar.

“(Tetapi) jika saya mahu menyimpan untuk masa depan saya, saya memerlukan RM3,000 ke atas,” katanya.

Keprihatinan Taufik tentang keperluan mempunyai wang yang cukup untuk simpanan dapat difahami memandangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini menyuarakan kebimbangan pihaknya hanya 22% daripada 6.7 juta penyumbang aktif berusia 54 tahun mempunyai simpanan mencukupi sebanyak RM196,800 atau lebih untuk menghadapi keperluan diri mereka selepas bersara.

Jia Ming yang bekerja dalam industri media berkata, dia terpaksa menerima pekerjaan yang menyediakan bayaran hanya RM2,500 dan memenuhi keperluan seharian 1 perjuangan yang berterusan.

“Selepas mengira semua perbelanjaan yang perlu saya selesaikan, saya tinggal sekitar RM1,300 sebulan. Idealnya, saya mahukan gaji RM3,000,” katanya.

Penuntut kewartawanan Maya Medina berkata dia memerlukan RM3,000 sebagai gaji asas untuk menampung perbelanjaan sebanyak RM1,000 untuk bahan api, tol, tempat letak kereta, kos telefon dan makanan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata keperluan gaji permulaan sebanyak RM3,000 boleh difahami jika mengambil kira kos sara hidup semasa, termasuk keperluan bagi pelajar untuk membayar pinjaman belajar.

Setiausaha Agungnya, J Solomon memberitahu FMT, pihak majikan, daripada hanya terlalu bimbang tentang soal keuntungan mereka, harus memastikan yang graduan baharu dibayar gaji yang baik.

Bagaimanapun, beliau berkata graduan baharu tidak sepatutnya memilih untuk terus menganggur hanya kerana mereka menunaikan tugas ideal yang akan membayar mereka apa yang mereka mahu.

“Sijil sahaja tidak menjadikan seorang graduan itu pekerja yang diingini, tetapi pengalaman sebagai seorang pekerja dalam menyesuaikan diri dengan dunia kerja adalah kelebihan tambahan bagi majikan untuk dipertimbangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan meletakkan 1 hujah yang berlainan dalam isu ini.

“Dengan keadaan ekonomi semasa negara, yang menyaksikan banyak perniagaan bergelut dengan kos operasi dan pengawalseliaan yang lebih tinggi, gaji RM3,000 untuk graduan baharu tidak realistik,” katanya.

Shamsuddin menambah, angka itu lebih sesuai untuk lepasan ijazah sarjana kerana graduan baharu biasanya dibayar antara RM2,000 hingga RM2,200 walaupun mereka lulus dengan kepujian kelas pertama.

“Jika graduan baharu mendesak RM3,000 sebagai gaji permulaan, mereka cenderung untuk tetap menganggur.”

Oleh itu, golongan belia menjadi antara yang paling teruk akibat trend pergerakan gaji yang perlahan, dengan kadar pengangguran belia di Malaysia mencapai 10.7% pada tahun 2015.

Paras itu lebih 3 kali kadar pengangguran kebangsaan iaitu sebanyak 3.1%, menurut statistik yang diterbitkan dalam laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2016.

Shamsuddin berkata adalah penting graduan baharu menduduki tugas pertama mereka secepat mungkin dan hanya mempertimbangkan untuk berpindah ke pekerjaan lain dengan gaji yang lebih baik kemudian.

“Lulusan baharu, jika lebih lama menganggur, lebih sukar bagi mereka mencari pekerjaan, terutama kerana mereka bersaing dengan graduan lain.”

* Afiqah Farieza menyumbang kepada artikel ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.