
Timbalan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, Chua Chong Kheng berkata, kedua-dua negara mencapai kemajuan baik.
“Tepat pada masanya untuk kami menawarkan tender menjelang akhir tahun,” katanya kepada peserta Simposium Keretapi Laju ke-3 “Berkongsi pengalaman 52 tahun Shinkansen” hari ini.
Simposium itu dihoskan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun; Kementerian Hal Ehwal Luar; Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri; Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun, Perkhidmatan Teknikal Keretapi Jepun dan Persatuan Sistem Keretapi Seberang Laut Jepun.
Beliau berkata, menjelang pelancaran tender itu, kedua-dua negara sudah melibatkan diri dengan pasaran.
“Kami juga mendapatkan pandangan mengenai bagaimana meningkatkan reka bentuk dan menangani sebahagian kebimbangan pasaran. Kami memperoleh maklum balas sangat baik,” katanya.
Taklimat industri pertama itu yang dijalankan LTA dan MyHSR Corp Sdn Bhd dari Malaysia pada 5 Julai lalu, menarik hampir 400 peserta daripada 165 entiti antarabangsa dan tempatan.
Taklimat tersebut mengalu-alukan peserta daripada semua rantaian nilai HSR – pembekal dan penyepadu lokomotif serta sistem, pengendali rangkaian, perunding kejuruteraan dan undang-undang, pembiaya dan syarikat pengendalian serta pembinaan.
Kedua-dua negara akan mengadakan taklimat industri ke-2 secara bersama pada 26 September ini bagi meneruskan proses pembabitan pasaran untuk projek itu.
Chua berkata, taklimat ini akan berkongsi maklumat tambahan mengenai tender AssetsCo dan menangani sebahagian persoalan penting yang dibangkitkan pemain pasaran semasa taklimat industri pertama.
“Saya ingin menggalakkan semua pembida yang berminat untuk menghadiri taklimat industri ke-2 yang akan diadakan di London,” kata Chua.
AssetsCo akan bertanggungjawab ke atas reka bentuk, membina, membiaya dan menyelenggara lokomotif serta mereka bentuk, membina, membiaya, mengendali dan menyelenggara aset kereta api seperti kerja trek, kuasa, isyarat dan telekomunikasi.
Perkhidmatan kereta api ekspres itu akan bermula 31 Disember 2026.
165 syarikat hadir taklimat industri projek kereta api KL-Singapura