Zeti, Nor Mohamed dan bekas peguam negara hadir di RCI forex BNM

Zeti, Nor Mohamed dan bekas peguam negara hadir di RCI forex BNM

Mereka merupakan antara nama yang disebut sebelum ini oleh saksi dalam pendengaran RCI yang masuk sesi ke-5 hari ini.

Zeti-Akhtar-Aziz-rci-malaysia
PUTRAJAYA: Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini dipanggil menghadiri prosiding bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urusniaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Bekas gabenor BNM itu merupakan saksi ke-16 dan tiba di Istana Kehakiman di Putrajaya pagi ini.

Zeti tamat perkhidmatan sebagai gabenor pada Mei 2016.

Turut dipanggil untuk memberi keterangan hari ini ialah bekas peguam negara, Tan Sri Ainum
Mohamad Saaid, dan bekas penolong gabenor BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sebelum ini, nama Ainum disebut oleh seorang bekas auditor kerajaan, P. Kanason Pothinker ketika memberi keterangan pada 29 Ogos.

Menurut Kanason, Ainon yang pada masa itu seorang pegawai di Pejabat Peguam Negara mengatakan urusniaga forex BNM dibuat tidak mengikut proses atau syarat di bawah Akta Bank Negara 1958.

Kanason berkata beliau diberitahu “orang atasan” tidak mahu pihaknya campur tangan dalam isu forex, sambil berkata Ainum berjanji jawapan bertulis akan diberikan dalam masa terdekat. Jawapan itu bagaimanapun tidak diterimanya, menurut Kanason.

Sementara pada 30 Ogos, nama Nor Mohamed dibangkitkan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kasim yang berkata urusniaga tukaran mata wang asing dilakukan atas arahan Nor Mohamed.

Prosiding hari ini merupakan sesi kelima RCI bagi menyiasat kes kerugian BNM melalui kegiatan perdagangan mata wang asing sekitar 1990-an.

Kerugian itu berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan menteri kewangan ketika itu.

Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.