Pemimpin dakwa Dr M ‘kontradik’, bidas perpecahan tapi sendiri tubuh banyak parti

Pemimpin dakwa Dr M ‘kontradik’, bidas perpecahan tapi sendiri tubuh banyak parti

Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda membidas bekas perdana menteri itu memandangkan beliau yang bertanggungjawab mengasaskan beberapa parti serpihan Umno.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Sepanjang kerjayanya, Dr Mahathir Mohamad yang pernah menerajui Umno, Bersatu dan Pejuang telah beberapa kali cuba menyatukan orang Melayu.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda menyelar kenyataan Dr Mahathir Mohamad berhubung isu perpecahan Melayu, menyifatkan hujah bekas perdana menteri itu sebagai ‘kontradik’ dengan tindakannya sendiri.
Hasbie Muda.
Hasbie Muda.

Hasbie berkata bekas presiden Umno itu tidak sepatutnya menuding jari kepada orang lain sedangkan beliau sendiri mengasaskan beberapa parti serpihan sehingga memecahkan lagi undi Melayu.

“Beliau sendiri tubuh Bersatu dan kemudiannya Pejuang. Jika Mahathir benar-benar komited dengan agenda perpaduan, beliau perlu buktikannya dengan kembali menyertai Umno,” katanya kepada FMT, merujuk kepada parti awal disertai Mahathir.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir yang mendakwa orang Melayu sendiri menjadi punca kepada perpecahan dan kelemahan yang dihadapi ketika ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, pula berkata Mahathir gagal cermin diri sendiri sebagai punca utama parti politik Melayu kehilangan dominasi.

Menurutnya, perpecahan itu tercetus kerana Mahathir mahu kembali berkuasa selepas bersara dan didakwa mempunyai agenda peribadi untuk memastikan anaknya menjadi perdana menteri.

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi.

“Apabila itu gagal, dia sanggup memecahkan Umno dan mahu ‘membunuh’ Umno dengan menubuhkan Bersatu. Akhirnya dia gagal, termasuk usaha terakhir untuk membina payung besar Melayu,” katanya.

Puad turut mencabar Mahathir supaya membuang ego dan kembali menyertai ‘Rumah Besar’ Umno sekiranya benar-benar ikhlas mahu menyatukan kaum itu.

“Adalah lebih baik dan rasional jika dia kembali ke pangkal jalan dengan menyertai semula Umno bersama Mukhriz dan penyokong setianya, memandangkan Umno kini sedang bangkit semula,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Razali Idris, menyifatkan kenyataan Mahathir itu sebagai satu ‘kebenaran yang pahit’ namun pada masa sama bersifat defensif.

Razali Idris
Razali Idris.

Razali berkata beban kegagalan itu tidak harus diletakkan sepenuhnya pada bahu rakyat meskipun perpecahan Melayu melalui kewujudan parti seperti Umno, PAS, Bersatu dan Pejuang adalah satu realiti politik.

Ini kerana katanya, perpecahan itu juga berpunca daripada strategi pemimpin sendiri termasuk perebutan kuasa dan pembentukan parti baharu.

“Sebagai tokoh yang pernah menerajui negara dan juga beberapa gerakan politik, Mahathir sendiri tidak terkecuali daripada dinamik ini dan terlibat dengan kewujudan parti seperti Bersatu dan Pejuang.

“Maka ada jugak pandangan yang melihat kenyataan tersebut sebagai cubaan untuk menjarakkan diri daripada kegagalan lampau,” katanya.

Sepanjang kerjayanya, Mahathir — yang pernah menerajui Umno, Bersatu dan Pejuang — beberapa kali cuba menyatukan orang Melayu.

Beliau menubuhkan gabungan Gerakan Tanah Air pada Ogos 2022 yang menghimpunkan parti Melayu, NGO, ahli akademik dan golongan profesional, serta bertanding dalam PRU pada tahun sama. Namun semua calon tewas dan hilang deposit, termasuk beliau sendiri.

Beliau juga melancarkan satu lagi gabungan perpaduan Melayu pada Jun tahun lalu, namun hala tuju gabungan itu masih tidak jelas susulan perbezaan pendapat melibatkan tokoh utama seperti Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.