MB: Banjir di Negeri Sembilan kerana sungai tidak diselenggara

MB: Banjir di Negeri Sembilan kerana sungai tidak diselenggara

Ini menyebabkan pokok di tebing sungai tumbang dan tebing runtuh, mengakibatkan mendapan dan sungai menjadi cetek, kata Mohamad Hasan.

Mohamad-Hasan-banjir
SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata banjir kilat yang berlaku baru-baru ini di beberapa kawasan di negeri ini termasuk Lenggeng disebabkan sungai tidak diselenggara.

“Penyelenggaraan sungai ini samalah pentingnya dengan penyelenggaraan jalan raya. Kalau jalan raya kita selenggara 5 tahun sekali, itu pun kadang-kadang tidak sampai 5 tahun sudah terpaksa diselenggara lagi sebab jalan sudah berlubang-lubang, begitu juga sungai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya sungai perlu diselenggara supaya laluan air terus lancar, tetapi daripada rekod mendapati banyak sungai di kawasan tersebut sudah lama tidak diselenggara.

“Ini menyebabkan pokok-pokok di tebing sungai tumbang dan tebing runtuh, mengakibatkan mendapan, akhirnya sungai menjadi cetek dan apabila hujan lebat berlaku banjir kilat,” katanya.

Mengenai banjir kilat di Lenggeng Sabtu lepas, Mohamad berkata beliau belum mendapat laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam kejadian itu, 82 orang daripada 29 buah keluarga di 4 kawasan iaitu Sungai Machang Hilir, Kampung Sungai Jai, Kampung Mendom dan Kampung Rawa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akibat rumah mereka dinaiki air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.