
Selain tukang paip, ada juga ada menceburi kerja teknikal yang didominasi lelaki, seperti juruelektrik dan mekanik, ketika Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) melaporkan kira-kira 81% wanita di Jordan tidak bekerja.
Kajian dijalankan Forum Strategi Jordan pada 2016 mendapati sumbangan wanita terhadap ekonomi negara itu berada di tangga ke-134 daripada keseluruhan 142 negara.
Arab News melaporkan lebih 160 wanita kini lulus kursus memasang dan membaiki paip di sebuah pusat vokasional di utara Jordan.
Israa Ababneh yang ragu-ragu dengan tindakan bapa saudaranya mendaftarkan beliau mengikuti kursus itu, mula menunjukkan minat selepas berjaya menguasai asas memasang dan membaiki paip.
“Keseronokan bermula apabila kami diajar cara memotong dan menyambung paip besi serta membaiki kebocoran di dalam dinding,” kata wanita berusia 27 tahun itu.
Israa berdepan satu lagi kesukaran apabila memasuki alam pekerjaan kerana tidak mendapat kepercayaan pelanggan dan ada yang menolak perkhidmatannya dengan alasan beliau ialah wanita.
“Mereka ketawakan kami dan kata kami tidak dapat melakukannya. Ia merupakan cabaran kepada kami,” katanya sambil menambah ramai pelanggan mencari mereka kerana tukang paip lelaki tidak cermat dan teliti.
“Lelaki hanya membaiki paip dan meninggalkan keadaan kotor, sedangkan tukang paip wanita akan membetulkan paip dan meninggalkan kerjanya dalam keadaan bersih,” katanya yang menyertai koperasi tukang paip wanita profesional.
Satu lagi kelebihan tukang paip wanita ialah mereka boleh menjalankan kerja pembaikan di rumah pelanggan tanpa kehadiran lelaki dalam kediaman tersebut.
Ini bermakna masalah kebocoran paip boleh dibaiki dalam kadar cepat tanpa perlu membazirkan lebih banyak air – manfaat besar buat Jordan yang merupakan antara negara mempunyai bekalan air sangat terhad di dunia.
Jordan hanya membekalkan 150 meter padu air kepada setiap penduduk setiap tahun, jauh di bawah 500 meter padu yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Air ialah isu sangat sensitif di Jordan,” kata Bjorn Zimprich, pengurus projek Agensi Pembangunan Jerman, GIZ yang memulakan Inisiatif Wanita Bijak Air untuk melatih tukang paip wanita di negara itu.
Kebanyakan keluarga di Jordan hanya mempunyai bekalan sebuah tangki air untuk kegunaan seminggu dan kebocoran paip akan menyukarkan mereka yang terpaksa bergantung kepada bekalan air terhad.
Wujud keperluan mendesak untuk penyelenggaran paip yang lebih cekap memandangkan Jordan kehilangan 40 hingga 50% air melalui saluran paip usang disebabkan kebocoran dan kecurian.
Ala Abu Heja, 32, pula berharap keadaan itu akan membuka laluan untuk mempelbagaikan tenaga kerja di Jordan.
“Sebelum ini, tukang paip wanita bukan sesuatu yang boleh diterima di sini.
“Sekarang, kita nampak wanita yang bekerja sebagai juruelektrik, tukang paip dan mekanik dengan harapan inisiatif ini akan mempengaruhi penyertaan wanita dalam kerja yang dahulunya didominasi lelaki.”
Nargis Al-Mahmoud, 23, yang tiba di Jordan pada 2013 selepas rumahnya di Syria dimusnahkan bom, kini bekerja bersama suaminya untuk memperluaskan perniagaan keluarganya.
Katanya, beliau menyertai kursus memasang dan membaiki paip, selepas membaca buku nota suaminya yang sukar memahami bahagian teori.
Beliau yang pernah diejek pelanggan, mula mendapat kepercayaan mereka selepas membuat pembaikan secara percuma bagi menunjukkan kemahirannya.
Ramai lulusan kursus memasang dan membaiki paip itu yang dahulu malu, kini memasuki alam pekerjaan dan membina keyakinan diri.