
Hari ini, ayahnya berkunjung lagi.
Tetapi Umar tidak lagi berada di sampingnya. Yang tinggal hanya jasad lelaki muda itu yang rentung dan sukar dikenali.

Ayahnya, yang hanya mahu dikenali sebagai Helmi, melawan perasaan hiba ketika tiba di Hospital Kuala Lumpur bagi proses pengecaman mayat anaknya.
“Semalam kali terakhir saya jumpa dia, selepas dia minta untuk datang,” katanya.
Umar baru berusia 7 tahun, dan tidak sampai sebulan menjadi pelajar sekolah tahfiz itu, yang terletak di sebuah bangunan 3 tingkat di Jalan Keramat Ujung di sini.
Sehingga kini, pihak berkuasa mengesahkan 21 pelajar dan 2 guru maut dalam kebakaran itu awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, 6 pelajar dan seorang orang awam turut cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, bagi Azman Indan, 40, beliau bersyukur anaknya Muhammad Ashraff, 11, semalam dibawa pulang semalam.
“Saya bawa balik anak saya untuk buat rawatan kulit,” katanya yang hadir ke HKL untuk memberikan sokongan moral kepada keluarga rakan anaknya.
Azman berkata anak masih lagi terkejut kerana rakannya merupakan salah seorang daripada yang terkorban.
Azman menghantar anaknya ke pusat tahfiz itu pada Jun lalu kerana mahu anaknya mendalami ilmu agama.