Kebakaran sekolah tahfiz disiasat sebagai kematian mengejut, kata KPN

Kebakaran sekolah tahfiz disiasat sebagai kematian mengejut, kata KPN

Datuk Seri Fuzi Harun berkata terlalu awal untuk mengatakan sama ada kejadian itu perbuatan membakar secara sengaja.

fuzi-4
KUALA LUMPUR:
Siasatan polis ke atas sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tertumpu kepada kematian mengejut, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Fuzi Harun.

Fuzi berkata demikian sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan forensik dan laporan bomba ke atas kebakaran yang meragut 23 nyawa, kebanyakannya pelajar.

“Buat masa ini siasatan lebih tertumpu kepada kematian mengejut dan laporan kebakaran sahaja, kecuali ada petunjuk baharu,” katanya.

“Kita akan dapat sesuatu yang baru daripada laporan forensik, bedah siasat dan bomba yang akan beri kita petunjuk bagaimana untuk tingkatkan siasatan dalam tragedi yang malang ini.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan tugas pengarah Cawangan Khas, Jabatan Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah. Sidang media ini merupakan sidang pertama Fuzi selepas dilantik KPN.

Ditanya sama ada kebakaran itu akan disiasat sebagai perbuatan membakar secara sengaja, berikutan pendedahan oleh bomba yang menemui kesan kebakaran bermula dari luar pintu bilik asrama, Fuzi berkata perkara itu disebut secara lisan, dan polis perlukan laporan bertulis untuk memulakan langkah ke arah itu.

“Kita akan tengok dari pelbagai sudut. Buat masa ini terlalu awal untuk mengelaskan jenis perbuatan membakar itu dan apa isu yang perlu kita tangani,” katanya.

Ditanya sama ada polis sudah merakam keterangan pemilik sekolah tahfiz itu, Fuzi berkata perkara asas siasatan telah dan akan diambil tindakan.

“Bukan sahaja pemilik, tetapi tenaga pengajar dan pelajar yang selamat, termasuk yang masih dirawat di hospital.”

Awal pagi semalam, kebakaran berlaku di asrama sekolah tahfiz di ibu negara. Bomba bergegas ke tempat kejadian dan kebakaran dapat dipadamkan dalam masa 1 jam namun kebakaran menyebabkan kemusnahan yang teruk.

Pegawai bomba di tempat kejadian berkata kebakaran berlaku di ruang tidur pada awal pagi dan bomba dari balai berdekatan tiba di tempat kejadian dalam masa beberapa minit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.