Keluarga sukar kenal pasti mangsa tragedi kebakaran tahfiz

Keluarga sukar kenal pasti mangsa tragedi kebakaran tahfiz

Hanya ujian DNA dapat mengesahkan identiti mangsa.

mangsa-kebakaran-2
KUALA LUMPUR:
Proses pengecaman mayat mangsa insiden kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung awal pagi ini sukar dilakukan kerana kesan kebakaran yang teruk.

Noor Aini Kamarudeen, 31, Cheras, kakak ipar kepada seorang mangsa, Muhammad Haikal Abdullah, 12, berkata pengecaman kali kedua hari ini tidak dapat disahkan waris iaitu ibu serta adik-beradik arwah dan terpaksa menunggu hingga hari esok untuk keputusan ujian DNA.

“Berdasar gambar yang kami lihat, mayat yang sudah rentung itu ada memakai ‘sweater’, cincin dan jam tangan. Kami tidak dapat kenal pasti sebab mayat terbakar seluruh badan.

“Apapun keputusan ujian DNA esok, kami sekeluarga redha,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata arwah yang merupakan anak bongsu dari 7 beradik itu baharu menyambut hari kelahirannya pada 6 Sept lalu.

Noor Aini menyifatkan arwah adik iparnya itu seorang yang periang dan manja.

“Dia sangat manja, suka senyum dan ceria. Ibu mertua saya baru melawat arwah di tahfiz semalam. Minggu lalu kami sekeluarga bawa dia bersiar-siar di Taman Tasik Titiwangsa, tidak sangka itu kesempatan terakhir kami bersama,” katanya dengan linangan airmata.

Seramai 21 pelajar dan 2 guru yang merupakan warden terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz itu pada 5.15 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.