RCI forex soal Daim dengan teliti

RCI forex soal Daim dengan teliti

Bekas menteri kewangan itu mendakwa beliau tidak pernah dimaklumkan tentang perdagangan mata wang asing.

Daim-Zainuddin-BNM
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyoal Tun Daim Zainuddin dengan teliti dalam siasatan ke atas kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) akibat dagangan mata wang asing hampir 30 tahun lalu.

Dalam sesi soal jawab selepas testimoni hari ini, tribunal 5 anggota itu menolak dakwaan bekas menteri kewangan kononnya beliau tidak pernah dimaklumkan tentang perdagangan mata wang asing kerana maklumat itu dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Panel yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan itu berkata walaupun dokumen OSA tidak boleh diakses orang awam, Daim selaku menteri boleh akses dokumen rahsia kerajaan.

Tribunal itu juga berkata BNM di bawah seliaan kementeriannya.

Daim menjawab “Betul, tetapi dalam kes ini mereka tidak maklumkan, jadi saya tidak tahu.”

“Jika mereka tidak maklumkan kepada saya, apa boleh saya buat? Bank negara seluruh dunia, sama ada di Amerika Syarikat atau Australia, mereka semua badan bebas.

“Kita tidak persoalkan keputusan mereka. Mereka yang tentukan dan kita tidak campur tangan. Peranan mereka adalah untuk maklumkan kepada saya. Jika mereka tidak lakukan sedemikian, bagaimana harus saya tahu?”

Daim yang memegang jawatan sebagai menteri kewangan daripada 1986 hingga 1991, berkata kementerian sudah memilih calon terbaik untuk mengetuai BNM dan bergantung dengan kepakaran mereka.

Beliau menambah, terdapat lebih 1,000 agensi bawah kementeriannya dan beliau seorang tidak mungkin mengetahui segala aktiviti dijalankan oleh mereka.

“Sebab itulah kita bergantung pada laporan yang diaudit,” katanya.

Bagaimanapun, Daim terus disiasat dengan teliti oleh tribunal itu yang mengatakan dagangan mata wang asing oleh BNM dilapor secara meluas.

Tribunal berpendapat Daim patut tahu tentang hal itu, sekurang-kurangnya menerusi laporan tersebut, kemudian menjalankan tugasnya melindungi ekonomi negara dengan menyiasat aktiviti yang salah di sisi undang-undang jika ia secara khusus bertujuan untuk membuat keuntungan.

“Benar, ianya dilapor secara luas tetapi Bank Negara asyik menafikannya. Mereka kata mereka hanya mempertahankan mata wang negara,” jawab Daim, yang juga menekankan BNM sebuah badan bebas.

“Kamu memberikan tugas kepada orang, dan kemudannya baru kamu dapat tahu mereka tidak menjalankan tugas.

“Jika saya mengetahuinya, saya sudah campur tangan dan memecat mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan itu.”

Sidek, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas ketua setiausaha negara yang bertanggungjawab ke atas lebih sejuta kakitangan awam, akui yang beliau juga mungkin tidak mengetahui segalanya yang berlaku bawah pimpinannya.

“Tetapi saya tahu saya sepatutnya dimaklumkan tentang perkara seperti ini yang memberi kesan dan impak kepada negara,” kata Sidek.

Daim menjawab tiada perbualan pasaran mengenai perdagangan forex pada masa itu.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi itu, Daim berkata ianya mudah untuk tribunal menuding pada kesilapan “selepas 30 tahun berlalu”.

Apabila disoal mengapa perdagangan itu tidak dihentikan ketika peletakan jawatannya pada 1991, Daim berkata ianya kerana tiada siapa tahu tentangnya.

“Ketua audit negara pun tidak memberitahu saya. Mereka sepatutnya datang dan berjumpa saya. Semua patut bertanggungjawab kepada negara.”

“Apabila sesuatu kesalahan berlaku, mengapa tidak laporkan kepada saya? Sebaliknya, kamu letak bawah OSA,” katanya.

Seramai 23 saksi memberi keterangan pada prosiding RCI itu termasuklah bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan ketika kerugian forex BNM berlaku.

RCI ditugaskan menyiasat kerugian forex sebanyak AS$10 bilion (kira-kira RM25 bilion berdasarkan kadar tukaran mata wang pada masa itu) disebabkan oleh Bank Negara antara 1991 dan 1993.

Dakwaan skandal itu berlaku semasa Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai perdana menteri, ketika Daim dan Anwar memegang jawatan menteri kewangan (1991-1998).

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.