Ahli akademi persoal gereja bersikap berkecuali

uum-church

PETALING JAYA: Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff mempersoalkan dakwaan Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC) Melter Jiki Tais bahawa pihak gereja bersifat berkecuali.

“Kalau benar gereja adalah bersifat non-partisan, kenapa pula gereja dan pemimpin-pemimpin tinggi gereja boleh terlibat secara langsung dalam majlis pelancaran bersama buku pemimpin tinggi PKR dan buku pemimpin tinggi DAP ini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada majlis pelancaran buku Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian bertajuk “The Long Awakening” dan Naib Pengerusi DAP Selangor Hannah Yeoh bertajuk “Becoming Hannah”.

Selain pelancaran buku, wacana bertajuk “Christians and Nation-Building” turut diadakan di Gereja City Discipleship Presbyterian di Subang Jaya, Selangor pada 24 Ogos lalu.

Kamarul mendakwa Baru dan Hannah evangelis Kristian tegar dan buku mereka memperkatakan mengenai usaha kristianisasi melalui bidang politik.

Beliau mendakwa gereja mula memainkan peranan aktif dalam politik pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013.

“Usahlah hendak dinafikan sokongan gereja kepada Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan Pilihan Raya Umum 2013 ini. Itu dalam keadaan gereja berbelah-bagi dengan keberadaan PAS dalam Pakatan sokongan begitu sudah diberikan, sekarang bila PAS sudah tiada dalam Pakatan maka tentulah akan bertambah meluas lagi sokongan gereja kepada Pakatan,” katanya.

Beliau berkata banyak usaha dibuat pemuka Kristian di Malaysia untuk meningkatkan lagi penglibatan politik gereja selepas PRU12.

Kamarul memetik buku “The Gospel, Sociopolity and Malaysian Society” yang disunting seseorang bernama Joshua Woo yang menurutnya tertulis: “Sejak PRU 2008, evangelicals di Malaysia telah mengambil penglibatan politik sebagai satu bahagian penting misi mereka sementara masih komited kepada penekanan tradisi ke atas sembahyang dan evangelism. Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia semua segmen gereja di Malaysia sekarang sudah menjadi komited kepada penglibatan politik”.

Kamarul mendakwa Joshua seorang ahli DAP.

Beliau juga mengambil buku “The Bible and the Ballot: Reflections on Christian Political Engagement in Malaysia” sebagai contoh, ditulis oleh beberapa pemuka Kristian seperti Joshua sendiri, Alwyn Lau, Christopher Chong, Tan Soo Inn, Rama Ramanathan dan Sivin Kit.

“Di dalam satu tulisan beliau menjelang PRU 2013, iaitu pada 26 April 2012, Alwyn menulis mengenai betapa, walaupun tidak menyebut secara terus di mimbar, para paderi di Malaysia telah menunjukkan secara sangat jelas parti politik mana yang mereka sokong, di mana link Facebook dan perbualan mereka menjadi petunjuk siapa penganut Kristian patut undi.

“Beliau ulangi lagi dalam satu tulisan terbaru beliau pada 27 Mac lalu dengan menyebut betapa ramai paderi di Malaysia yang sudah berbuat demikian,” katanya.

Manakala Sivin pula, kata Kamarul, menampakkan keakrabannya dengan Hannah dengan menguar-uarkan pelancaran buku Adun Subang Jaya itu dan mengakui secara terbuka pada 2 Ogos 2012 bahawa beliau dan ramai lagi pemimpin Kristian terlibat aktif dalam politik pada PRU12.

“Sivin juga bersetuju bahawa penganut Kristian, khasnya di Semenanjung Malaysia, anti Barisan dan akan mengundi Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 2013, sambil menyebut mengenai bahan sembahyang mereka (their prayer items) bercakap mengenai perubahan (praying for change) dan mengenai pertambahan bilangan mereka yang terlibat di dalam Himpunan Bersih, termasuk paderi.”

Semalam, Melter menafikan dakwaan pihak gereja pro-pembangkang.

“Sebagai sebuah badan keagamaan, gereja adalah non-partisan dan akan terus wujud sebagai non-partisan. Saya memberi jaminan kepada Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman, dan kerajaan Sabah bahawa gereja bukan anti-kerajaan atau pro-pembangkang,” katanya lapor Borneo Post.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/09/20/church-is-non-partisan-says-sabah-council-of-churches/