Adun BN bidas lawatan Azmin ke China bukti pembangkang hipokrit

Budiman-Mohd-Zohdi_azmin-ali_china_600

PETALING JAYA: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi membidas pembangkang hipokrit kerana mengkritik lawatan perdana menteri ke China tidak menguntungkan negara, sedangkan pemimpin Pakatan Harapan sendiri cuba menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ditadbir mereka.

Adun Sungai Panjang itu merujuk lawatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali ke China baru-baru ini untuk menarik pelaburan ke negeri itu, selain kerajaan Pulau Pinang yang turut mendapat pinjaman Beijing bagi menampung perbelanjaan pembangunan di negeri terbabit.

“Walaupun belum lagi dikeluarkan apa-apa laporan hasil lawatan (Azmin) tersebut, ternyata segala yang cuba diraih kerajaan negeri Selangor adalah hasil daripada inisiatif dan kerja keras yang dimulakan kerajaan persekutuan.

“Namun, kejayaan perdana menteri membawa sejumlah pelaburan besar ini dijadikan modal politik apabila pihak pembangkang mendakwa kerajaan persekutuan sedang menjual negara kepada China.

“Harus diingatkan di sini, keberadaan Azmin Ali di China tidak mungkin berlaku, jika tiada usaha yang dibuat perdana menteri dan kerajaan persekutuan,” kata ahli Parlimen Sungai Besar itu dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 14 perjanjian melibatkan pelaburan lebih RM143 bilion, termasuk pembabitan China dalam Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion dimeterai dalam lawatan rasmi 6 hari Datuk Seri Najib Razak ke China pada November tahun lalu.

Ia disusuli lawatan kerja 5 hari Najib ke China mulai 12 Mei lalu atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Budiman berkata, kunjungan Najib ke China Mei lalu menyaksikan Malaysia mendapat pelaburan lebih RM30 bilion dari negara itu, termasuk syarikat e-dagang terbesar China, Alibaba Group membuka hab pengedaran serantau di Sepang yang secara langsung dan tidak langsung membawa pulangan kepada kerajaan Selangor.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat tidak terpedaya dengan dakwaan pembangkang yang cuba mengelirukan mereka dengan membandingkan usaha kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan dengan kerajaan pusat.

“Pihak pembangkang hari ini umpama meludah ke langit. Cukup-cukuplah mengelirukan rakyat dengan sikap hipokrit mereka. Tindakan mereka ini bukan sahaja hipokrit, malah cuba meraih keuntungan dan hasil daripada usaha yang mereka kritik sebelum ini.”

Menurut laporan, China merupakan rakan dagang Malaysia terbesar selama 7 tahun berturut-turut sejak 2009. Jumlah dagangan Malaysia-China meningkat 4.4% pada 2016 berbanding RM240.91 bilion pada 2015.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/11/05/tak-masuk-akal-tuduh-saya-jual-negara-kepada-china-kata-najib/