Akhirnya, wanita Saudi dibenarkan memandu

saudi-women-dri

RIYADH: Dasar Arab Saudi menghalang wanita daripada memandu kereta akhirnya ditamatkan semalam, selepas arahan Raja Salman supaya pengharaman itu dibatalkan.

Arab Saudi merupakan satu-satunya negara yang tidak membenarkan wanita memandu atas alasan agama.

Arahan diraja semalam susulan perbincangan jawatan kuasa ditubuhkan kerajaan, dan akan dikuat kuasakan menjelang Julai tahun depan, menurut agensi berita Arab Saudi.

Menurut arahan itu, langkah itu perlu mematuhi piawai syariah, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Pengumuman itu disambut baik duta Arab Saudi ke Washington, Khaled bin Salman, yang menyifatkannya “hari besar dan bersejarah bagi negara kami”.

“Saya rasa pimpinan sudah memahami masyarakat kita,” katanya dipetik Reuters.

Pentadbiran Amerika Syarikat turut memuji keputusan itu.

Aktivis wanita selama berdekad melawan pengharaman itu, dan ada yang ditangkap kerana engkar larangan itu.

Manal al-Sherif ditahan pada 2011 selepas melakukan protes sambil memandu kereta.

Susulan pengumuman semalam, Manal memuat naik di Twitter: “Hari ini, negara terakhir di alam ini membenarkan wanita memandu… kami berjaya.”

Arab Saudi yang merupakan sekutu kuat Washington mempunyai pelbagai peraturan mengekang kebebasan wanita, termasuk syarat mewajibkan seorang wanita ditemani muhrim semasa perjalanan.

Bagaimanapun, ada pihak yang mempersoalkan keputusan terbaru itu, dengan mendakwa ia melanggar syariah.

“Seingat saya, sarjana syariah berkata adalah haram untuk wanita memandu. Bagaimana pula ia tiba-tiba menjadi halal?” menurut salah satu reaksi di media sosial.