Setiausaha politik menteri direman 6 hari

Setiausaha politik menteri direman 6 hari

Ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang PTPK bernilai RM40 juta.

Setiausaha-politik-sprm
PUTRAJAYA: Seorang setiausaha politik kepada menteri direman selama 6 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan bernilai RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Majistret Azizah Ahmad mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 61 tahun itu.

Setiausaha politik berkenaan dilaporkan ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada 12.30 tengah hari semalam.

Lelaki itu tiba di ke mahkamah pada 9.45 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren, bagaimanapun prosiding kesnya selesai lebih kurang pukul 3.30 petang.

Laporan akhbar semalam menyebut setiausaha politik terbabit merupakan individu ke-5 yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan berkenaan.

Laporan itu juga menyebut individu berkenaan merupakan ahli biasa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Serian, Sarawak, dan siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 13 September lalu, SPRM menahan 4 individu kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan.

Mereka yang ditahan adalah seorang ketua eksekutif bergelar “Datuk” berumur 58 tahun, setiausaha perbadanan berumur 34 tahun, penolong pegawai kewangan berumur 32 tahun dan pengarah sebuah syarikat yang bergelar doktor berumur 38 tahun di beberapa lokasi di ibu negara dalam operasi khas SPRM.

Bagaimanapun, semua individu terbabit yang direman 6 hari bermula 14 September lalu dan masing-masing dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.