
Kakak sulung arwah, Nik Norliliwati, 44, berkata keluarganya terkejut dan tidak menyangka kematian adiknya itu akibat dipukul iaitu selepas bedah siasat dijalankan.
Dipetik Bernama, beliau berkata keluarganya diberitahu keadaan mangsa agak teruk dengan kesan kecederaan di bahagian belakang leher selain ada pendarahan di bahagian paru-paru.
Menurutnya buat masa sekarang keluarganya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci dan tindakan selanjutnya.
“Keluarga kami mungkin akan melantik seorang peguam dan yang selebihnya kami akan tunggu keputusan penuh daripada pihak berkuasa.
“Kami akan tegakkan keadilan terutamanya kepada keluarga arwah iaitu isteri, Noor Bazlin Mohamad, 28, serta 3 anaknya, Nik Adam Mikhail, 4, Nik Aishah Azzahra, 2, dan Nik Anas Naufal, 10 bulan,” katanya.
Nik Norliliwati berkata pihak keluarganya mahu supaya balasan yang setimpal diberikan kepada sesiapa yang melakukan perkara itu terhadap mangsa.
Isteri Allahyarham yang masih bersedih enggan ditemu bual wartawan.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbat, Pasir Tumboh, Kota Bahru hari ini.
Jenazah Allahyarham yang tiba dari Ipoh, Perak pukul 5 pagi tadi, selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu kira-kira sejam kemudian disaksikan anggota keluarga, penduduk kampung dan pegawai-pegawai TLDM.
Turut hadir Panglima Udara TLDM Laksamana Pertama Datuk Alias Baharuddin yang menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada ibu arwah, Maimun Yasok, 61, selepas majlis pengebumian tersebut.
Allahyarham LK 1 PNK Nik Muhammad Baihaqy, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan, Perak, Jumaat lepas.
Polis mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.
Dalam pada itu, jenazah Muhammad Lailal Tuiman selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Pasir Mas.
Jenazah Allahyarham dikebumikan pada 9.30 pagi selepas tiba di Kampung Bagus di sini pada 6.30 pagi dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.
Sebaik tiba di kampung halamannya itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Al Hidayah di sini sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang diiringi oleh anggota keluarga, penduduk kampung dan pegawai TLDM.
Turut hadir Timbalan Panglima Armada Barat TLDM Laksamana Pertama Abu Bakar Mohd Ajis dan pasukan Kawalan Jenazah KD Lekir dari Pangkalan TLDM Lumut, Perak yang menguruskan jenazah tersebut.
Suasana hening menyelubungi upacara pengebumian itu dan anggota keluarga dilihat tenang sehingga selesai urusan tersebut.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Nur Liya Asmira berharap kematian arwah suaminya mendapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya.