Dokumen CIA dedah ‘kisah benar’ eskploitasi kekayaan Sarawak

Dokumen CIA dedah ‘kisah benar’ eskploitasi kekayaan Sarawak

Dokumen 5 muka surat itu dipercayai ditulis beberapa minggu sebelum Akta Pelantar Benua yang meluaskan kuasa kerajaan pusat.

sabah-sarawak-cia2
KOTA KINABALU: Sebuah dokumen Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat yang baharu dikeluarkan daripada senarai rahsia mencetuskan beberapa persoalan mengenai penubuhan Malaysia dan rezab minyak dan gas di Sabah dan Sarawak, menurut seorang aktivis Sarawak.
Zulfaqar-Sa’adi
Zulfaqar Sa’adi.

Zulfaqar Sa’adi memberitahu FMT, dokumen tersebut membongkar kisah sebenar apa yang berlaku pada 1969, apabila Sarawak hilang hak perairannya yang kaya dengan mineral kepada kerajaan persekutuan.

Dokumen 5 muka surat itu dipercayai ditulis beberapa minggu sebelum Akta Pelantar Benua 1966 dipanjangkan ke atas kedua-dua negeri Malaysia Timur itu.

Menurutnya, kerajaan pusat di Kuala Lumpur cuba menggunakan kuasanya untuk mengeksploit kekayaan semulajadi perairan Sarawak menjangkau 3 batu.

Zulfaqar berkata walaupun Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, kerajaan persekutuan hanya menggubal Akta Pelantar Benua pada 1966 selepas penubuhan persekutuan Malaysia dan sejurus selepas pemisahan Singapura.

“Membaca dokumen CIA itu, kita tertanya sama ada Persekutuan Tanah Melayu selaku kerajaan persekutuan Malaysia, merancang situasi politik itu sejak awal bagi tujuan mengeksploitasi kekayaan semulajadi wilayah Borneo,” katanya kepada FMT.

Beliau turut memetik kata-kata perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, yang secara terbuka mahu Sabah, Sarawak dan Brunei bersatu di bawah satu negara disebabkan kekayaannya. Sebelum itu, katanya, Tunku pernah menyifatkan rancangan itu baik dari segi kewangan kerana wilayah itu kaya dengan minyak.

Berdasarkan kajiannya, Zulfaqar berkata kerajaan Malaya ketika itu memgambil peluang daripada keadaan terdesak British untuk memenuhi kewajipannya terhadap 2 negeri itu, di samping mempertahankan kepentingannya di Singapura, untuk memaksa penyatuan ketiga-tiga wilayah itu.

“Saya tidak mengatakan ia sesuatu yang sengaja, tetapi dengan ketiadaan Singapura, Malaya bebas mengeksploit kekayaan Sabah dan Sarawak.

“Singapura sudah tentu akan membantah sebarang percubaan memanjangkan Akta Pelantar Benua ke 3 wilayah itu.

“Selepas Singapura berpisah, kerajaan pusat segera melaksanakan rancangannya.”

Zulfaqar berkata apa yang mengecewakan ialah pemimpin Sarawak ketika itu sedia maklum tindakan Malaya itu melanggari Perjanjian Malaysia 1963.

Kerajaan Sarawak yang ketika itu di bawah kerajaan sementara selepas Kuala Lumpur mengusir ketua menteri Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, bertegas membantah akta itu dilaksanakan.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur memberitahu Sarawak yang akta itu sesuatu yang demokratik dan masuk akal kerana turut dipersetujui Sabah.

“Kerajaan persekutuan menggunakan alasan sama dalam meyakinkan Sabah, dengan berkata ia dipersetujui Sarawak,” kata Zulfaqar.

Dokumen CIA itu mendedahkan, pemangku ketua peguam Sarawak ketika itu, Tan Sri Jemuri Serjan, dengan merujuk Perjanjian Malaysia, menggariskan hak perairan Sarawak yang disahkan pada 1954 melalui majlis negeri dan diperkasakan oleh Ordinan Menggali Minyak 1958.

“Beliau berjujah yang Perkara 1 Perlembagaan Malaysia yang pada masa itu berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (dipinda pada 1976), memberikan definasi wilayah Sarawak yang termasuk pelantar benua itu.

“Ini maklumat baharu kerana sehingga hari ini, kita tidak pernah tahu yang kerajaan Sarawak sudah menyedari alat perundangan ini dalam berurusan dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

Menurut dokumen CIA itu, kerajaan Sarawak boleh menentang Kuala Lumpur dalam isu Akta Pelantar Benua 1966 dan juga eksploitasi kuasa “Darurat” untuk mengambil alih perairan Sarawak.

Sebaliknya, kerajaan Sarawak menerima cadangan Kuala Lumpur selepas diberikan konsesi kecil, dan beberapa tahun kemudian ia dimeterai melalui Akta Pembangunan Petroleum 1976, yang memperuntukkan bayaran tunai dinamakan “royalti 5%” kepada negeri itu.

“Akhirnya, Kuala Lumpur dapat meluaskan kuasanya dalam mengeksploitasi kekayaan menjangkau 3 batu dan tanpa segan menggunakan kuasa ‘Darurat’ dan kerajaan ‘sementara’ Sarawak yang lemah untuk mencapai objektifnya,” kata Zulfaqar.

Beliau percaya maklumat baharu yang didedahkan dokumen itu akan menguatkan azam menilai semula penubuhan Malaysia untuk membetulkan kesilapan lampau.

“Saya berharap peguam Sarawak yang berkunjung ke London baru-baru ini akan merungkai lebih banyak maklumat untuk memberikan gambaran jelas penubuhan Malaysia dan membantu mempertahankan hak Sarawak.”
CIA-RDP08C01297R000300090003-9
CIA-RDP08C01297R000300090003-9-2
CIA-RDP08C01297R000300090003-9-3
CIA-RDP08C01297R000300090003-9-4
CIA-RDP08C01297R000300090003-9-5

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.