Hajiji harap rundingan Sabah-Putrajaya diterus lepas keputusan rayuan

Hajiji harap rundingan Sabah-Putrajaya diterus lepas keputusan rayuan

Ketua menteri Sabah berkata pentadbirannya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.

Hajiji
Ketua Menteri Hajiji Noor, berkata keputusan Mahkamah Rayuan hari ini tidak ketepi perintah Mahkamah Tinggi sedia ada berkait hak 40% Sabah daripada hasil bersih persekutuan.
PETALING JAYA:
Hajiji Noor berharap rundingan kerajaan Sabah dan persekutuan dapat diteruskan susulan keputusan Mahkamah Rayuan mengenai 40% hak negeri terhadap hasil bersih persekutuan.

Dalam kenyataan, ketua menteri berkata kerajaan Sabah menghormati keputusan mahkamah itu.

“Walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, adalah diharapkan rundingan akan diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan dengan kerajaan persekutuan.”

Awal hari ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan persekutuan menggantung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung hak Sabah terhadap 40% bahagian hasil bersih persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.

Dalam membenarkan perintah penggantungan itu, Hakim Zaini Mazlan berkata Putrajaya akan ‘jelas terjejas’ jika dipaksa mematuhi perintah mahkamah tanpa peluang untuk membentangkan kesnya dalam rayuan.

Kerajaan persekutuan memfailkan permohonan pada 3 Mac untuk menggantung perintah Mahkamah Tinggi berkenaan.

Hajiji seterusnya menyatakan perintah penggantungan diberikan itu bersifat prosedur dan mengekalkan status quo sehingga rayuan kerajaan persekutuan didengar.

Katanya, keputusan mahkamah rayuan itu tidak mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang sedia ada, merujuk keputusan tahun lalu bahawa kerajaan persekutuan telah melanggar kewajipan Perlembagaan kerana gagal menghormati hak 40% bahagian hasil bersih Sabah bagi ‘tempoh terlepas’, dari 1974 hingga 2021.

“Walaupun perintah Mahkamah Tinggi untuk mengadakan semakan adalah bagi ‘tempoh terlepas’, ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa memandangkan kerajaan persekutuan tidak mempertikaikan fomula 40% serta keperluan untuk mengadakan semakan.”

Hajiji mengulangi pendirian kerajaan negeri yang menentang penggantungan perintah Mahkamah Tinggi. Namun, beliau menyatakan pentadbirannya menghormati keputusan mahkamah.

“Ini adalah satu proses yang sedang berjalan dan kerajaan negeri akan terus berbincang serta mencari penyelesaian.”

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memberi tempoh tiga bulan kepada kerajaan persekutuan melakukan semakan bersama kerajaan Sabah bagi menentukan amaun hak 40% itu untuk tahun-tahun dipersoalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.