
Beliau berharap dana itu dapat disalurkan secepat mungkin demi manfaat rakyat.
Beliau turut mengalu-alukan jaminan Anwar, semasa perasmian sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri, bahawa Putrajaya akan menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini membuktikan kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Anwar merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan apa yang dijanjikan.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan semua peruntukan di bawah MA63, khususnya pemberian khas 40% dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Anwar mengumumkan geran khas interim bagi Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40% hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam MA63.
Beliau berkata, komitmen berkaitan pembayaran hasil 40% itu telah dibawa ke Jemaah Menteri dan diumumkan secara rasmi di Parlimen, namun cabaran ketika ini lebih tertumpu kepada kaedah pelaksanaannya.
Bulan lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Putrajaya menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah menerima 40% daripada hasil bersih persekutuan yang diperoleh dari negeri itu, sementara menunggu rayuan selesai.
Khamis lalu, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah, Armizan Mohd Ali berkata, pengiktirafan Anwar terhadap hak Perlembagaan Sabah menerima 40% hasil memperkukuhkan usaha kerajaan negeri untuk mempercepatkan agenda pembangunan negeri itu.