Barang peribadi Jong Nam dihantar ke Korea Utara, sampel dimusnahkan

Barang peribadi Jong Nam dihantar ke Korea Utara, sampel dimusnahkan

Pakar senjata kimia berkata sampel jaket blazer milik Jong Nam yang diambil untuk analisa dan uji kaji dimusnahkan namun ekstrak masih disimpan.

Raja-Subramaniam_Kim-Jong-Nam_law_600
SHAH ALAM:
Pakar senjata kimia Dr Raja Subramaniam mengesahkan selain jaket blazer, beberapa barang peribadi milik Kim Jong Nam sudah dihantar semula ke Korea Utara.

Ketua Bahagian Senjata Kimia dan Analisis di Jabatan Kimia Malaysia itu berkata, beliau diarahkan pegawai penyiasat untuk melepaskan barangan milik Jong Nam bersama-sama mayatnya ke Korea Utara.

“Dia berkata beberapa barang setelah sampel diambil akan dihantar semula ke Korea Utara…beberapa barang seperti kasut, seluar jeans, blazer, gelang, beg, dompet, rantai, cincin dan jam tangan,” katanya di dalam mahkamah ketika pemeriksaan balas pihak pembelaan.

Subramaniam turut menjelaskan sampel daripada jaket blazer yang diambil untuk analisa dan uji kaji dimusnahkan namun ekstrak sampel masih disimpan.

“Darah, air kencing, serum yang terdedah agen saraf VX, bagaimanapun masih lagi disimpan,” katanya sewaktu pemeriksaan balas peguam suspek warga Indonesia, Siti Aisyah, Gooi Soon Seng.

Pemusnahan itu mematuhi tatacara operasi standard Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW), katanya.

Satu-satunya pakar memiliki kemahiran dalam bidang senjata kimia di negara ini mengesahkan ujian dilakukan di dalam negara dan tidak dihantar ke negara lain.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika ditemui di luar mahkamah berkata tidak ada keperluan untuk menghasilkan jaket blazer itu di mahkamah.

“Adakah ini bermakna kita juga perlu bawa mayat Jong Nam ke dalam mahkamah untuk diperiksa,” katanya kepada pemberita ketika ditanya.

Semalam, Subramaniam mengadu keletihan selepas menunjukkan baju LOL yang didakwa dipakai suspek warga Vietnam, Doan Thi Huong.

Subramaniam sebelum ini mengesan baju didakwa dipakai Siti Aisyah dan Doan mengandungi agen saraf VX.

Siti Aishah dan Doan sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas pembunuhan Jong Nam yang ketika itu sedang bersiap sedia menaiki pesawat ke Macau pada 9.00 pagi, 13 Februari.

Kematian Jong-nam itu disusuli krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, yang menafikan tuduhan pembabitan Pyongyang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.