Dzulkifli tidak akan tunduk pada dakwaan ‘kotor’, ‘keji’

dzul

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad tidak akan tunduk pada dakwaan yang “kotor” dan “keji”, dan berikrar meneruskan kempen anti-rasuah dengan agresif.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan kononnya beliau terlibat dalam hubungan sulit. Dzulkifli berkata dakwaan sebegitu bertujuan untuk menimbulkan kesangsian terhadap usaha SPRM selain mencemar nama baiknya.

“Kami tidak akan tunduk pada tekanan dan akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab kami bagi memastikan negara dibersihkan daripada mereka yang terlibat dalam rasuah dan salahguna kuasa,” kata Dzulkifli dalam wawancara dengan TV3.

Menurutnya lagi, Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan polis akan mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya yakin serangan itu dibuat kerana tindakan agresif SPRM terhadap mereka yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa,” kata Dzulkifli.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas di Jabatan Perdana Menteri Datuk Puad Zarkashi berkata penyebaran sebuah video tentang seorang pegawai kanan SPRM baru-baru ini disebarkan oleh pihak yang bimbang akan kempen agresif melawan rasuah.

Beliau berkata video itu taktik untuk memeras ugut pegawai itu, dan cubaan menggunakan perseps rakyat dalam usaha menganggu siasatan SPRM.

“Melalui penyebaran kisah fitnah itu, mereka harap SPRM akan pertimbangkan semula siasatan kes tertentu,” katanya, lapor New Straits Times semalam.