
Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengeluarkan perintah reman itu dikeluarkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu yang genap 60 tahun hari ini, ditahan 9 malam Khamis selepas dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.
Shafie yang tiba di mahkamah dengan sebuah ambulans, terpaksa menunggu lebih 30 minit sebelum dibawa ke kamar Cindy oleh pegawai SPRM.
Lebih 500 penyokongnya yang diketuai Naib Presiden Warisan, Junz Wong dan Datuk Peter Anthony serta Ketua Pemudanya, Mohd Azis Jamman, berkumpul di luar mahkamah.
Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Christina Liew turut hadir memberi sokongan kepada ahli Parlimen Semporna itu.
Penyokongnya menggunakan peluang itu untuk meraikan ulang tahun kelahiran Shafie dengan menunggu di luar pintu pagar mahkamah bersama sebiji kek.
Ahli keluarga Shafie mewakilinya memotong 3 lagi kek di luar mahkamah.
Shafie yang tidak digari, diwakili barisan peguam yang diketuai Martin Tommy dan dibantu Darell Leiking, Loretto Padua Jr, Zakaria Abd Jalil, Hamid Ismail serta Cedric Choo.
Shafie ialah individu ke-11 ditahan SPRM berhubung kes itu, setakat ini.
Darell yang juga timbalan presiden Warisan berkata, Shafie letih akibat cuaca dan selepas berkempen untuk Warisan sejak beberapa hari lalu.
“Beliau disoal lebih 3 jam sebelum SPRM menahannya.
“Sebagai sebahagian prosedur SPRM, beliau dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II untuk pemeriksaan kesihatan dan tekanan darahnya didapati agak tinggi sedikit.
“Doktor menasihatkan beliau dimasukkan ke wad atas alasan kesihatan, bukannya ditahan dalam lokap,” katanya.
Darrell mengesahkan pegawai SPRM cuba membawa Shafie ke lokap Balai Polis Kepayan, bukannya lokap SPRM, menyebabkan penyokongnya mengkritik cubaan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan profesional kerana melayannya seperti penjenayah.
“Saya bingung kenapa SPRM mahu hantar beliau ke Kepayan dan bukan menahannya di lokap agensi itu. Saya rasa kerajaan sudah memberi berjuta ringgit kepada SPRM untuk menyediakan kemudahan lokap.”
Beliau mendedahkan SPRM sebelum ini turut menahan 2 saksi dalam kes itu di lokap Balai Polis Kepayan.
Adik Shafie yang juga Adun Lahad Datu daripada Umno, Datuk Yusof Apdal masih direman SPRM.
Bagaimanapun, seorang lagi adiknya, Hamid dibebaskan daripada tahanan reman berhubung kes sama dengan ikat jamin RM50,000 dan RM25,000 lagi didepositkan berserta 2 penjamin, semalam.
Menantu Hamid turut dibebaskan semalam.
Kira-kira 350 projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dilaporkan dipantau SPRM atas dakwaan penyelewengan dana persekutuan.
Dana RM1.5 bilion itu dikatakan sebahagian daripada RM7.5 bilion untuk pembangunan prasarana air, elektrik dan jalan raya itu di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan, antara 2009 hingga 2015.
Lebih 45 orang disoal siasat SPRM sejak siasatan itu bermula 3 minggu lalu. Sebanyak 72 syarikat di Sabah juga dilaporkan disiasat SPRM.
Kira-kira RM170 juta aset dan wang dalam akaun bank milik beberapa syarikat yang terbabit dalam projek itu dilapor dibekukan SPRM.